Najib Razak berdepan saman SRC International.
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, didakwa berulang kali meletakkan kesalahan kepada pihak lain bagi menutup penyelewengan dana pencen KWAP berjumlah RM3.95 bilion yang melibatkan SRC International Sdn Bhd.
Peguam SRC International, Lim Chee Wee, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tindakan Najib itu adalah satu helah untuk menyembunyikan ketidakjujurannya sendiri.
“Dengan menjadikan pihak lain sebagai ‘kambing hitam’ dalam pembelaannya, tindakan Najib itu adalah untuk menutup ketidakjujurannya sendiri,” kata Chee Wee semasa membentangkan hujahnya.
Beliau menekankan hujahan Najib yang meletakkan tanggungjawab kepada Lembaga Pengarah SRC untuk melindungi pinjaman pertama bernilai RM2 bilion daripada KWAP adalah tidak berasas.
“Ini tidak dapat diterima. Pada masa pemerolehan pinjaman KWAP pertama, tiada Lembaga Pengarah SRC yang wujud.
“Panel Pelaburan KWAP juga berasa terpaksa mengikut arahan Najib memandangkan KWAP berada di bawah bidang kuasanya sebagai Menteri Kewangan ketika itu,” katanya lagi.
Tambah peguam itu, Najib telah cuai dengan meluluskan dan secara peribadi meminta pinjaman KWAP itu diluluskan secara tergesa-gesa atas alasan pelaburan segera.
“Namun, beliau gagal mengesahkan kewujudan pelaburan tersebut. Malah, beliau tahu tiada pelaburan segera yang akan dibuat,” ujarnya.
Sebaliknya, Najib didakwa bekerjasama rapat dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, untuk mendapatkan pinjaman tersebut bagi tujuan penyelewengan.
“Akhirnya, kedua-duanya menerima manfaat secara peribadi,” dakwa beliau.
Kes saman yang difailkan SRC International pada 7 Mei 2021 itu menuntut ganti rugi berjumlah AS$1.18 bilion daripada Najib dan Nik Faisal.
SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat, melakukan pecah amanah, dan Najib disabitkan dengan menyalahgunakan kuasa untuk ganjaran peribadi.
Tuntutan itu berhubung pinjaman RM4 bilion yang diterima SRC daripada KWAP antara tahun 2011 dan 2012.
SRC memohon perisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat itu dan meminta perintah supaya Najib membayar AS$120 juta manakala Nik Faisal membayar AS$2 juta.
Prosiding kes yang dihadiri Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin itu dijangka akan disambung esok.
MCMC siasat hantaran 3R hina Tuanku Muhriz
Isu eFishery: KWAP masih kukuh, Tengku Zafrul sifatkan dakwaan bankrap sebagai ‘auta’
NADI sasar jadi pusat lahirkan pakar AI luar bandar: MCMC
Kementerian kurangkan latihan di hotel ambil langkah berhemah berbelanja: Fahmi
eFishery: Keputusan pelaburan KWAP dibuat panel profesional
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil
[VIDEO] Aminuddin akui laluan tak mudah, sanggup berlari untuk tawan DUN Linggi, kubu kuat BN