Kes scam..
Seorang kerani kewangan sebuah syarikat kerugian RM452,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai bosnya menerusi aplikasi WhatsApp, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima mesej daripada nombor 012-2068323 kira-kira jam 3.24 petang ketika berada di pejabat di Jalan Kamaruddin.
Menurutnya, suspek menggunakan nama panggilan ‘Ken’ sebelum meminta mangsa menyemak baki akaun syarikat dan mengarahkannya membuat beberapa transaksi.
“Individu terbabit menggunakan nama panggilan ‘Ken’ dan meminta mangsa menyemak baki akaun syarikat sebelum mengarahkannya membuat beberapa transaksi wang.
“Mangsa kemudian membuat tiga transaksi berjumlah RM452,000 ke dua akaun bank atas nama Prosecution Global Sdn Bhd dan Kedem Hub Trading,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, transaksi pertama berjumlah RM95,000 dibuat pada jam 3.53 petang ke akaun Bank Islam, diikuti RM212,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pada jam 4.56 petang.
Transaksi ketiga pula berjumlah RM145,000 dan dibuat pada jam 5.24 petang ke akaun Bank Islam yang sama.
Katanya, dalam urusan itu, mangsa turut berhubung dengan seorang individu yang bertanggungjawab meluluskan transaksi berkenaan.
“Semalam, mangsa sekali lagi menerima WhatsApp daripada individu sama yang meminta transaksi tambahan sebanyak RM235,000.
“Bagaimanapun, sebelum transaksi itu dibuat, individu yang meluluskan transaksi menghubungi bos sebenar mangsa bagi mendapatkan pengesahan,” katanya.
Menurut Azli, bos sebenar mangsa kemudian memaklumkan beliau tidak pernah mengarahkan sebarang transaksi berkenaan.
Mangsa selepas itu menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas suspek menyamar sebagai bos menggunakan aplikasi WhatsApp.
Wang yang lesap itu adalah milik syarikat dan mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.
Kes penipuan menyamar sebagai pegawai atasan melalui aplikasi pesanan bukan perkara baharu. Taktik itu lazimnya mengeksploitasi kepercayaan mangsa sebelum mereka diarahkan membuat bayaran atau pindahan wang dalam tempoh singkat.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum