Ringgit.
Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin ketika sentimen elak risiko kembali menghantui pasaran susulan ketegangan memuncak di Timur Tengah.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9225/9295 berbanding dolar AS daripada 3.8910/8960 ketika ditutup Jumaat lalu.
Tekanan itu hadir selepas AS dan Israel melancarkan beberapa serangan sasaran ke atas Iran pada Sabtu, termasuk di Tehran, yang dilaporkan mengorbankan orang awam.
Iran kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu ke wilayah Israel serta kemudahan ketenteraan AS di rantau berkenaan, sekali gus mencetuskan gelombang kebimbangan baharu dalam kalangan pelabur global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun berdepan kejutan geopolitik besar, ringgit masih menunjukkan daya tahan kerana kekal di bawah paras RM4.00 berbanding dolar AS.
“Pasaran kekal dalam keadaan yang sangat tidak menentu. Oleh itu, ringgit dijangka terus rendah berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sentimen berhati-hati itu menenggelamkan berita positif domestik yang sebelum ini menyokong pengukuhan ringgit.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, memaklumkan ringgit meningkat 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar AS setakat 1 Mac 2026.
Beliau berkata pengukuhan tersebut mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 5.2 peratus, mengatasi unjuran awal.
Namun, perkembangan geopolitik terkini mengubah hala tuju pasaran buat sementara waktu apabila pelabur beralih kepada aset selamat seperti dolar AS.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama termasuk euro dan yen Jepun, tetapi mencatatkan sedikit pengukuhan berbanding pound British.
Dalam kalangan mata wang ASEAN, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura dan rupiah Indonesia, namun mengukuh berbanding baht Thailand serta stabil berbanding peso Filipina.
Polis pertahan guna Akta Hasutan terhadap pengguna TikTok
Kes tular pemandu bas riba kekasih: Pasangan dipenjara, didenda RM5,000
Ekonomi Malaysia diunjur tumbuh 5.3 peratus pada suku pertama 2026
Inflasi Malaysia naik 1.7 peratus pada Mac: DOSM
Kapal minyak Malaysia hampiri perairan negara dari Selat Hormuz: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan