Presiden USNO, Pandikar Amin Mulia.
Krisis dalaman Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) semakin memuncak apabila enam ahlinya, termasuk Timbalan Presiden Ibrahim Linggam, digantung keahlian berkuat kuasa serta-merta.
Presiden parti, Pandikar Amin Mulia berkata tindakan itu diambil berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti susulan dakwaan pelanggaran disiplin dan peraturan organisasi.
Selain Ibrahim, lima lagi yang terlibat ialah Ahmad Kanajaan, Hussin Ibnu Hassan, Mohammad Hafeiz Hussin, Sazali Justi dan Sallehudin Kasau.
Menurut beliau, penggantungan itu bersifat sementara sementara siasatan lanjut dijalankan oleh Lembaga Disiplin Pusat.
“Langkah ini penting bagi memastikan kestabilan parti tidak terjejas, terutama dalam situasi konflik dalaman yang berpotensi membawa perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pandikar menegaskan tindakan tersebut dibuat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tidak terkawal serta memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara teratur.
Katanya, jawatankuasa disiplin akan memanggil semua individu terlibat untuk memberi penjelasan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam perkembangan sama, beliau turut melucutkan pelantikan enam individu sebagai Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) bagi sesi 2025 hingga 2028, termasuk Datu Abdul Lalih Abah dan Dr Masjidin Datu Moksan.
“Keputusan ini dibuat kerana tindakan mereka dilihat tidak sehaluan dan boleh menjejaskan kestabilan parti ketika krisis sedang memuncak,” jelasnya.
Beliau menambah, struktur kepimpinan AMET akan disusun semula bagi memastikan kelancaran pentadbiran parti.
“Semua pemegang jawatan perlu menjaga kesatuan parti dan tidak bertindak hingga menimbulkan perpecahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Pandikar menolak dakwaan tindakan itu dibuat secara tergesa-gesa. Sebaliknya, beliau menegaskan semua keputusan diambil berdasarkan peruntukan jelas dalam perlembagaan parti.
“Tiga peluang sudah diberikan melalui mesyuarat dalaman, namun ada yang tidak hadir dan memilih membuat kenyataan di luar. Tindakan tegas ini perlu bagi memastikan parti terus stabil,” katanya.
USNO merupakan antara parti politik bersejarah di Sabah yang pernah memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri, namun sejak kebelakangan ini berdepan cabaran dalaman dalam usaha mengukuhkan kembali pengaruhnya, termasuk bersaing dengan parti seperti UMNO dalam arena politik tempatan.
Empat kekosongan exco Negeri Sembilan masih belum diganti: Aminuddin
Wan Rosdy bidas balik kritikan Guan Eng kata UMNO tak boleh dipercayai
ADUN UMNO perlu patuh keputusan kerjasama Negeri Sembilan: Mat Maslan
Kes saman Azam Baki: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Ratu Naga
Armada Bersatu desak penjelasan status kes RM169 juta Ismail Sabri
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan