Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
PKR Negeri Sembilan berharap kemelut membabitkan institusi dan pentadbiran negeri itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan urusan kerajaan serta kepentingan rakyat tidak terus terjejas.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, perkembangan semasa bukan sekadar berkaitan persoalan perlembagaan dan institusi diraja, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, ketidaktentuan berkaitan kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi menyebabkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan kerajaan negeri terganggu.
“Urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, selain memberi kesan kepada peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut membangkitkan isu pelantikan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta anggota majlis yang menurutnya tidak wajar terus tergantung.
Katanya, kedua-dua elemen itu penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi, selain berperanan dalam penyelarasan pentadbiran.
Aminuddin turut berkata, pertikaian yang berpanjangan boleh menimbulkan persepsi kerajaan negeri tidak dapat berfungsi secara berkesan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin politik mengutamakan kebijaksanaan serta mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan.
“Berikan ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut ini,” katanya.
Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang berkuat kuasa pada 20 September. Pembatalan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September.
Pada Selasa, Menteri Besar, Ismail Lasim turut menghadap Tuanku Muhriz hampir tiga jam di Istana Hinggap, Seremban. Pertemuan itu dipercayai berkaitan perkembangan pentadbiran dan kemelut semasa negeri.
Perkembangan tersebut berlaku ketika perhatian terus tertumpu kepada kedudukan pentadbiran negeri serta implikasinya terhadap kelancaran urusan kerajaan dan rakyat.
Tak cukup kuat bergerak solo, Bersatu perlu cari rakan di Melaka: Faizal Azumu
Gagal isytihar wang tunai ditemui SPRM dan emas: Ismail Sabri mahu cabar pertuduhan
Loke hantar surat letak jawatan, berkuat kuasa bila Najib pulang ke rumah
Pertemuan PH-Bersatu sekadar makan malam: Adam Adli
Pemimpin PH-Bersatu bertemu, rundingan PRN Melaka?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum