Anwar bersama Ahmad Zahid semasa program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Negara Bangsa di Memorial Tun Abdul Razak hari ini.
Generasi muda perlu melihat Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lebih daripada sekadar tokoh sejarah, sebaliknya menghayati pemikiran dan perjuangannya untuk terus membina negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, legasi Perdana Menteri kedua itu masih relevan dan wajar dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran semasa, khususnya berkaitan kemiskinan, perpaduan, integriti dan pembangunan negara.
“Tokoh ini tidak sembarangan dan tidak datang dan pergi sebagai suatu kisah sejarah yang mudah. Sebab itu tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk menyemarakkan lagi api semangat obor perjuangannya.
“Mengenang negarawan bukan tugas mudah, ia boleh menyingkap sejarah, mendambakan perubahan, menghidupkan semangat kewajaran untuk dijadikan pengajaran dan iktibar,” katanya ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Negara Bangsa di Memorial Tun Abdul Razak hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
Menurut Anwar, Tun Abdul Razak memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang mengemudi negara selepas merdeka ketika Malaysia berdepan cabaran besar termasuk ketegangan kaum, ancaman komunis dan kelemahan ekonomi.
“Negarawan seperti Tun Abdul Razak ini nakhoda yang sangat bijak dan pintar. Mencari dan menilai, meyakini tokoh-tokoh daripada penjawat awam, swasta, menyajikan yang terbaik dengan integriti untuk membantu beliau,” katanya.
Anwar turut mengimbas pengalamannya ketika menjadi mahasiswa dan pernah berinteraksi dengan Tun Abdul Razak di kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu, Seri Taman.
Beliau berkata, Tun Abdul Razak menunjukkan keterbukaan untuk mendengar pandangan golongan muda, termasuk pandangan tegas dan kritikan yang mendesak perubahan.
Dalam pada itu, Anwar berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) antara legasi utama Tun Abdul Razak yang perlu difahami berdasarkan matlamat asalnya, iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum.
“Saya masih ingat lagi ucapan dan perbincangan kami ketika itu di Seri Taman. Kata beliau, orang miskin itu tidak kenal warna kulit… dan kebetulan majoritinya orang Melayu.
“Bagi saya DEB masih suatu gagasan yang sangat agung dari sudut penyusunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, malangnya dalam naratif semasa, ia cenderung ditafsir dari sudut lain,” katanya.
Beliau berkata kerajaan hari ini kekal komited membasmi kemiskinan secara menyeluruh, selari dengan semangat asal perjuangan Tun Abdul Razak.
Anwar turut mengingatkan generasi muda mengenai tiga ancaman atau “3C” yang pernah ditekankan Tun Abdul Razak, iaitu komunisme, perkauman dan rasuah.
“(Isu) perkauman masih tebal, manakala rasuah masih menjadi satu daripada masalah di sini,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara dan Yayasan Tun Razak bagi mengangkat legasi serta pemikiran negarawan itu supaya terus dihayati generasi masa kini dan akan datang.
Isu pengampunan: Zahid serah nasib Najib kepada budi bicara Agong
Danish cabar Asyraf tunjuk ayat PH pertikai kuasa Agong
Ismail akan berjumpa Zahid, jelaskan dakwaan dipaksa tandatangan
Penyatuan ummah bukan untuk pinggir bukan Melayu – Akmal
Siapa pegang tangan MB Negeri Sembilan soal Mahfuz
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum