Mahkamah benarkan permohonan Najib akses dokumen kes 1MDB

June 5, 2026 · Politik

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib Razak mengakses beberapa dokumen penting berkaitan saman sivil AS$8 bilion (kira-kira RM34 bilion) yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya terhadap beliau serta tujuh individu lain.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus selepas membenarkan permohonan penemuan dokumen dan pemeriksaan yang dikemukakan Najib menjelang perbicaraan kes yang dijadual bermula pada Ogos depan.

Antara dokumen yang perlu diserahkan kepada Najib ialah senarai lengkap wang, aset dan harta yang telah berjaya dipulihkan, dipulangkan atau dibawa pulang ke Malaysia, termasuk maklumat mengenai prosiding undang-undang yang telah atau sedang diambil terhadap pihak ketiga berkaitan dana berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan plaintif mengemukakan rekod berkaitan pemulihan aset serta dokumen yang memperincikan syarat dan terma penyelesaian yang dicapai dengan mana-mana pihak yang terlibat.

Dalam penghakimannya, Mohamad Redzuan berkata dokumen yang dimohon adalah relevan dan penting bagi memastikan proses perbicaraan berjalan secara adil.

“Sebagai defendan dalam tindakan ini, beliau berhak mengetahui dokumen serta butiran berkaitan jumlah yang telah berjaya dipulihkan dan bagaimana wang atau aset berkenaan diperoleh,” katanya.

Mahkamah juga mengarahkan pihak plaintif memfailkan afidavit dalam tempoh 21 hari bagi menyatakan sama ada dokumen tersebut berada atau pernah berada dalam milikan, jagaan atau kuasa mereka, selain menyerahkannya untuk tujuan pemeriksaan dan salinan.

Pada masa sama, mahkamah membenarkan permohonan 1MDB supaya semua dokumen yang diserahkan tertakluk kepada perintah perlindungan.

Ini bermakna dokumen tersebut hanya boleh diakses oleh hakim, pegawai mahkamah, pihak yang terlibat dalam saman serta peguam masing-masing.

Menurut mahkamah, dokumen berkenaan perlu disimpan secara sulit dan hanya boleh digunakan bagi tujuan prosiding kes.

Pihak plaintif juga dikecualikan daripada memfailkan versi tidak ditapis dokumen itu melalui sistem e-filing, sekali gus menghalangnya daripada diakses oleh orang awam.

Saman AS$8 bilion itu merupakan salah satu daripada 22 tindakan sivil yang difailkan bagi mendapatkan semula lebih AS$23 bilion yang didakwa hilang susulan skandal kewangan 1MDB.

Dalam tindakan berkenaan, 1MDB bersama empat anak syarikatnya bertindak sebagai plaintif, manakala Najib dinamakan sebagai defendan pertama.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Wan, Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Radhi Mohamad, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Skandal 1MDB sebelum ini mencetuskan perhatian global apabila pihak berkuasa di beberapa negara menjalankan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana yang melibatkan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Najib hadir pada prosiding hari ini dan diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala 1MDB diwakili peguam Lee Shih dan Raphael Kok.

Berita berkaitan
Perbicaraan Vivy Yusof: Saksi beritahu RM8 juta masuk dipindahkan ke akaun lain
July 20, 2026· Isu semasa
Zizie Izette bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta
July 20, 2026· Isu semasa
Aset 1MDB bernilai USD1.37 bilion berjaya dibawa pulang
July 19, 2026· Isu semasa
Nasib Zizie Izette dalam kes rasuah RM2.8 juta diputuskan esok
July 19, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
PRN NS: Anwar harap pengundi kekalkan Aminuddin berdasarkan rekod
4 jam lalu · Politik
PRN N9: PH ikrar teruskan dasar beri manfaat kepada rakyat
9 jam lalu · Politik
Malaysia kekal tegas, tidak tunduk desakan Ahli Kongres AS: Loke
11 jam lalu · Politik
PMX: Kerajaan PH Negeri Sembilan berjaya kembalikan hasil pembangunan kepada rakyat
13 jam lalu · Politik
DUN Jeram Padang: Kebajikan rakyat jadi keutamaan Manivanan
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
July 21, 2026
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil
July 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok