Bencana banjir di Nepal.
Malaysia sedang mempertimbangkan penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta bantuan kewangan ke Nepal susulan banjir besar di kawasan sempadan Nepal-Tibet yang menyebabkan puluhan rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, usaha menyelaras bantuan itu sedang dilakukan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diberi tanggungjawab menyelaras tindakan kerajaan.
“ Kita sedang menyelaras perkara ini sekarang. Mungkin tidak lama lagi saya akan menerima maklumat daripada MKN yang menyelaras sama ada kita menghantar pasukan keselamatan untuk operasi SAR atau bantuan lain,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia memandang serius bencana itu memandangkan beberapa puluh rakyat negara ini masih belum dapat dikesan.
“Kita sedang mendapatkan senarai terkini. Terdapat beberapa puluh rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan,” katanya.
Setakat maklumat terkini pihak berkuasa Malaysia, seramai 57 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dihubungi. Tiada kematian membabitkan rakyat Malaysia disahkan secara rasmi setakat ini.
Anwar berkata, keluarga rakyat Malaysia yang terjejas perlu menghubungi pihak berkuasa, termasuk Kementerian Luar, bagi memudahkan usaha mengesan serta memastikan keselamatan mereka.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan SAR, agensi pelancongan dan pihak berkaitan bagi mengesan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.
Perwakilan diplomatik Malaysia di Kathmandu dan New Delhi turut digerakkan bagi membantu usaha itu.
Anwar sebelum ini mengarahkan agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan segera untuk mengesan dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas, selain memastikan perwakilan diplomatik mempunyai sumber mencukupi.
“Saya sudah mengarahkan supaya misi kita diberikan segala sumber diperlukan.
“Kerajaan akan terus terbabit sepenuhnya sehingga rakyat Malaysia yang terjejas dapat dikenal pasti dan keluarga mereka mendapat sokongan diperlukan,” katanya.
Bencana banjir kilat melanda beberapa kawasan termasuk daerah Rasuwa dan Nuwakot selepas hujan lebat serta kejadian keruntuhan glasier. Keadaan itu menyebabkan jalan raya dan jambatan rosak, komunikasi terganggu serta menyukarkan akses pasukan penyelamat ke kawasan terjejas.
Negara jiran seperti India, China dan Bangladesh turut mengambil langkah menyalurkan bantuan susulan bencana berkenaan.
Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa bencana dan menghargai usaha pasukan penyelamat yang menjalankan operasi dalam keadaan mencabar.
Scam: Cinta TikTok berakhir dengan kerugian RM112,500
Belanjawan 2027: Pelajar Tingkatan Enam bakal terima elaun
MetMalaysia ramal ribut petir, hujan dan jerebu pada 31 Ogos: Bernama
Dua rakyat Malaysia di Nepal berjaya dikesan, 55 lagi masih gagal dihubungi
AUKU dimansuh, mahasiswa diberi ruang bersuara: Anwar
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri