Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang bagi kegiatan penjualan dadah dan bahan terlarang secara dalam talian.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan segera diambil bagi membendung kegiatan berkenaan.
Menurutnya, beliau sudah mengarahkan MCMC mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dipercayai digunakan untuk menjual bahan terlarang termasuk fentanyl atau dikenali sebagai ‘piu-piu’.
“Saya telah mengarahkan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform berkenaan.
“MCMC dijadual mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dipercayai terbabit dalam penjualan bahan terlarang termasuk fentanyl atau ‘piu-piu’,” katanya ketika berucap pada Majlis Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) hari ini.
Fahmi berkata, perkembangan teknologi serta capaian internet yang semakin meluas perlu disertai kawalan keselamatan digital lebih kukuh bagi mengelakkan kemudahan itu dieksploitasi untuk kegiatan menyalahi undang-undang.
Katanya, golongan muda juga perlu diberi perhatian kerana mereka antara pengguna paling aktif dalam persekitaran digital.
“Kemudahan internet yang disediakan kerajaan bukan sekadar merapatkan jurang digital, tetapi perlu dimanfaatkan untuk membina masyarakat yang lebih celik teknologi serta mampu melindungi diri daripada ancaman di alam siber,” katanya.
Beliau berkata, penyalahgunaan platform digital bukan hanya melibatkan penjualan dadah, malah pengguna turut berdepan risiko penipuan dan pelbagai bentuk ancaman siber.
Sehubungan itu, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian perlu diperkukuh selaras dengan peluasan kemudahan digital menerusi PKD dan NADI.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menyifatkan kerjasama antara PKD dan NADI penting bagi memastikan kemudahan serta sumber kerajaan dimanfaatkan secara optimum, khususnya oleh masyarakat luar bandar.
“Kerjasama PKD dan NADI mencerminkan semangat Kerajaan MADANI yang mengutamakan sinergi, pengoptimuman sumber serta penyampaian perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 25 sen
Haji 2027: B40 bayar RM15,000, T20 RM33,300
Anwar terkesan kehilangan juruterbang Zainol Afiq dalam nahas
Undang dakwa proklamasi turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
Abdul Azeez didakwa guna jawatan untuk dapat habuan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum