Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.
MIC akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) buat masa ini, susulan perubahan landskap politik dalam Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat lebih didominasi PAS.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Pusat parti yang berlangsung selama kira-kira tiga jam di ibu pejabat MIC, hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden parti, SA Vigneswaran.
Menurut Saravanan, perbincangan mengenai hala tuju parti turut mengambil kira pandangan akar umbi yang dibangkitkan dalam perhimpunan agung tahunan MIC baru-baru ini.
“Perwakilan sebelum ini melihat PN secara berbeza ketika ia dipimpin oleh Muhyiddin Yassin, kerana mereka mempunyai pengalaman bekerja bersama beliau,” katanya.
Namun, beliau menjelaskan perubahan kepimpinan dalam PN telah mengubah persepsi tersebut.
“Dinamika itu berubah secara drastik apabila kepimpinan PN kini lebih didominasi oleh PAS. Persoalannya, jika kita mengikuti kepimpinan semasa PN, bagaimana kedudukan masyarakat India nanti? Adakah mereka akan terus menyokong kita?” katanya dalam sidang media.
Saravanan menegaskan bahawa dalam keadaan semasa, MIC memilih untuk mengekalkan kestabilan politik dengan terus bersama BN.
“Perjalanan MIC harus diteruskan dengan mengekalkan kestabilan seperti yang ada sekarang iaitu kekal bersama BN buat masa ini,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada pendirian itu hanya sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), beliau menegaskan keputusan tersebut bersifat sementara.
“Keputusan ini adalah buat masa ini dan kami masih terbuka kepada semua pilihan,” katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa MIC bersama MCA mungkin mencari haluan baharu selepas dikatakan berasa terpinggir dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Spekulasi itu semakin kuat susulan beberapa pertemuan antara pimpinan MIC dan PN.
Pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mendakwa MIC telah diterima sebagai anggota gabungan itu sejak Disember tahun lalu, dan disahkan dalam mesyuarat pada 14 Mac.
Bagaimanapun, MIC menafikan dakwaan tersebut.
Saravanan menjelaskan parti itu tidak pernah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai PN, sebaliknya hanya membuat pertanyaan awal ketika gabungan itu masih dipimpin Muhyiddin.
Penjelasan sama turut diberikan sebelum ini oleh Setiausaha Agung MIC, S Ananthan yang menegaskan surat yang dihantar hanyalah untuk mendapatkan maklumat, bukan permohonan rasmi untuk menyertai PN.
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
PRN berasingan bukan faktor kelebihan kepada BN: Khaled
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi