Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi.
Keputusan majoriti besar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai langkah tepat dalam memastikan kelangsungan parti itu dalam landskap politik negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Mohd Puad Zarkashi berkata, keputusan tersebut mencerminkan kehendak sebenar akar umbi MIC yang masih mahu parti itu bersama gabungan tradisi berkenaan.
Menurutnya, kepimpinan MIC perlu menghormati keputusan majoriti demi memastikan kestabilan dalaman parti.
“Jika keputusan ini tidak dihormati, MIC berdepan risiko perpecahan dan akhirnya boleh lenyap daripada arus politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan penyertaan dalam Perikatan Nasional (PN) bukanlah pilihan yang selamat buat MIC ketika ini.
“PN sendiri dilihat tidak stabil. MIC tidak akan selamat jika menyertai gabungan itu,” ujarnya lagi.
Puad turut memberi contoh dinamika dalam PN dengan mendakwa wujud tekanan antara parti komponen, termasuk melibatkan Hamzah Zainudin yang kekal sebagai Ketua Pembangkang walaupun tidak berparti.
Menurutnya, situasi itu menunjukkan ketidakseimbangan kuasa dalam gabungan tersebut.
Pada masa sama, beliau menegaskan penyertaan MIC dalam program retreat BN pada Februari lalu menjadi petunjuk awal bahawa parti itu cenderung untuk terus bersama gabungan berkenaan.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh kerjasama antara parti komponen BN selepas melalui beberapa cabaran sejak Pilihan Raya Umum lalu.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan mengesahkan parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan MIC mempertimbangkan kerjasama dengan gabungan lain pada masa hadapan.
Untuk rekod, MIC merupakan antara parti komponen teras BN sejak penubuhan gabungan itu dan memainkan peranan penting dalam mewakili masyarakat India di Malaysia.
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
PRN berasingan bukan faktor kelebihan kepada BN: Khaled
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi