Miss Equality World 2026 bukan diadakan di Pulau Pinang: Mufti

September 1, 2026 · Isu semasa

Pertandingan Miss Equality World 2026 yang mencetuskan perhatian selepas rakaman seorang peserta membawa nama Malaysia tular di media sosial sebenarnya berlangsung di Bangkok, Thailand, bukan di Pulau Pinang.

Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman berkata, semakan terhadap maklumat rasmi penganjur mendapati pertandingan itu berlangsung dari 22 hingga 30 Ogos lalu di Bangkok.

Menurutnya, penganjur memang menyenaraikan seorang peserta yang membawa nama Malaysia, namun perkara itu tidak bermaksud individu terbabit merupakan wakil rasmi kerajaan.

“Pembetulan ini penting. Islam menuntut kita berlaku adil terhadap fakta sekalipun terhadap perkara yang kita tentang,” katanya.

Mohd Sukki turut mengulas isu penyertaan individu transgender dalam pertandingan berkenaan dari sudut hukum syarak.

Katanya, Islam mempunyai pendirian jelas terhadap tindakan seseorang yang sengaja menyerupai atau mengubah dirinya kepada jantina berlawanan.

“Ini berbeza dengan khunsa atau intersex, yang melibatkan keadaan biologi tertentu dan memerlukan penilaian pakar bagi menentukan jantina sebenar.

“Bagi seseorang yang telah jelas jantina biologinya, tindakan sengaja menukar jantina atau membina identiti sebagai jantina berlawanan adalah bercanggah dengan syariat,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan turut timbul apabila budaya LGBTQ dipromosi, diraikan dan dinormalisasikan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Atas nama toleransi, jangan sampai perkara yang ditegah agama dianggap biasa. Atas nama kebebasan pula, jangan sampai batas halal dan haram diketepikan.

“Menghormati manusia tidak bermaksud kita wajib mengiktiraf setiap perbuatannya. Bersikap rahmah tidak bermaksud kita perlu menghalalkan apa yang Allah haramkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan isu berkenaan.

Katanya, dari sudut undang-undang Malaysia, terdapat peruntukan Syariah negeri yang mengawal perlakuan tertentu berkaitan lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita, tertakluk kepada bidang kuasa serta peruntukan negeri masing-masing.

“Apatah lagi pertandingan yang sedang diperkatakan ini berlangsung di Thailand.

“Oleh itu, masyarakat jangan mengambil undang-undang ke tangan sendiri. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berautoriti untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mohd Sukki turut menegaskan ketegasan terhadap isu LGBTQ tidak bermaksud umat Islam boleh menghina atau menzalimi individu yang terlibat.

Beliau menyeru keluarga dan masyarakat membantu mereka yang mahu kembali kepada kehidupan berlandaskan agama, bukannya menjauhkan atau menghukum mereka.

“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Zumar ayat 53: ‘Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.’

“Kembalilah kepada Allah. Carilah bimbingan dan bantuan. Keluarga serta masyarakat pula hendaklah membantu mereka kembali, bukannya menghina sehingga mereka semakin jauh,” katanya.

Isu Miss Equality World 2026 menjadi perhatian selepas video peserta yang membawa nama Malaysia tersebar di media sosial dan mencetuskan persoalan mengenai lokasi pertandingan serta status penyertaannya.

Berita berkaitan
Isu video lama tular, JPN jelaskan kahwin sivil bukan ritual agama
October 18, 2026· Isu semasa
MCMC pantau dakwaan maklumat palsu berkaitan isu Belanjawan 2027
October 13, 2026· Isu semasa
Penjenayah 10 rekod ditembak selepas kejar-mengejar di LDP
October 10, 2026· Isu semasa
AGC teliti bukti kes tular Ketua Pengarah AKPS: Laporan
October 6, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
10 jam lalu · Isu semasa
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
17 jam lalu · Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
20 jam lalu · Isu semasa
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
October 26, 2026 · Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
October 26, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok