Kerajaan menanggung subsidi bahan api demi kepentingan rakyat.
Kementerian Kewangan menafikan dakwaan kononnya orang ramai boleh membuat permohonan tambahan bagi meningkatkan had subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI MADANI (BUDI95) dengan menegaskan perkara yang ditularkan itu tidak benar.
Dalam satu kenyataan, kementerian menjelaskan kekeliruan timbul daripada fungsi yang pernah wujud dalam portal BUDI95 pada peringkat awal pelaksanaan.
Namun, fungsi tersebut bukan bertujuan untuk kegunaan umum atau permohonan berdasarkan keperluan peribadi.
Sebaliknya, ia diwujudkan khusus bagi kes tertentu yang melibatkan keperluan operasi jelas seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada syarat ketat serta pengesahan pihak berkuasa.
“Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas. Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan,” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian turut menegaskan had subsidi sebanyak 200 liter sebulan kekal dan tidak berubah.
Langkah itu diambil bagi memastikan pemberian subsidi lebih bersasar kepada majoriti rakyat serta menjamin kestabilan bekalan bahan api dalam negara.
Menurutnya lagi, keputusan mengekalkan had tersebut juga dipengaruhi tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global yang menyebabkan kos subsidi meningkat dan memerlukan pengurusan fiskal lebih berhemah.
Data kementerian menunjukkan bahawa had 200 liter sebulan mencukupi untuk kira-kira 90 peratus pengguna BUDI95.
Dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna layak menikmati pembelian petrol sehingga RM398 sebulan, manakala kerajaan menanggung sekitar RM500 bagi setiap penerima.
Program BUDI MADANI diperkenalkan sebagai sebahagian usaha kerajaan menyusun semula sistem subsidi bahan api agar lebih tersasar dan mengurangkan ketirisan.
Ia turut menjadi antara langkah penting dalam memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Kementerian menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan, memantau perkembangan pasaran tenaga global, serta bersedia membuat penyesuaian dasar sekiranya perlu.
“Kerajaan komited melindungi kebajikan rakyat sambil memastikan pengurusan subsidi dilaksanakan secara mampan,” katanya.
Kerajaan kaji pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
Dana Inovasi Media 2.0 perkasa industri media berdepan cabaran digital: Teo Nie Ching
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum