Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan segera merangka dasar ekonomi Bumiputera yang baharu sebagai dasar induk bagi memastikan agenda sosio-ekonomi Bumiputera tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan negara.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, dasar berkenaan perlu memayungi serta memandu semua dasar sedia ada kerajaan supaya pembangunan lebih tersusun dan inklusif.
Menurutnya, meskipun Dasar Ekonomi Baru (DEB) pernah berjaya mengangkat kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera selepas diperkenalkan pada 1970-an, realiti semasa menunjukkan jurang masih wujud, termasuk melibatkan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Sudah tiba masanya kerajaan menstruktur semula pendekatan pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Dasar baharu ini mesti memastikan setiap dasar kerajaan, sama ada industri, pelaburan, pendidikan atau ekonomi digital, mempunyai komponen agenda Bumiputera dengan sasaran yang jelas dan boleh dicapai,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menegaskan, dasar induk itu tidak seharusnya menjejaskan kepentingan kaum lain, sebaliknya memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan seimbang.
Katanya, agenda kesejahteraan rakyat perlu diterjemahkan secara konkrit dalam usaha merapatkan jurang sosio-ekonomi Bumiputera selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Muhyiddin turut membangkitkan kebimbangan mengenai penyertaan Bumiputera yang masih rendah dalam sektor berkemahiran tinggi dan profesional.
“Tanpa akses pendidikan berkualiti dan latihan strategik, Bumiputera berisiko kekal sebagai pekerja sokongan dalam sektor bernilai tinggi,” katanya, sambil menambah isu pengangguran siswazah dan pemilikan rumah dalam kalangan belia Bumiputera masih membimbangkan.
Beliau juga mendakwa data rasmi menunjukkan pemilikan ekuiti dan pendapatan isi rumah Bumiputera ketinggalan, dengan kadar kemiskinan lebih tinggi berbanding kaum lain.
“Jika tiada usaha bersungguh-sungguh, kedudukan ekonomi Bumiputera akan terus merosot,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menggesa kerajaan meneliti semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara, serta mencadangkan perjanjian itu dibentangkan semula di Parlimen untuk kelulusan.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib