
Najib Razak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menyaksikan fasa penting mulai esok apabila hujahan lisan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, bermula.
Prosidings yang akan dihadiri oleh pasukan pembelaan dan pendakwaan itu dijangka berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah selama sembilan hari, bermula 21 hingga 24 Oktober dan disambung 27 hingga 31 Oktober ini.
Kes ini, yang telah menarik perhatian antarabangsa selepas Najib didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion dana 1MDB serta 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.
Menurut peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah, fasa pembelaan kes tersebut telah ditutup pada 6 Mei lepas setelah memanggil saksi terakhir.
Beliau turut menjelaskan perjalanan kompleks kes ini.
“Kes pendakwaan berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 selepas mendengar keterangan 50 saksi,” ujar Muhammad Shafee, sambil menambah perbicaraan keseluruhannya telah mengambil masa selama 293 hari.
Beliau juga mengingatkan bahawa Najib telah dihadapkan ke mahkamah pada September 2018, manakala perbicaraan pertama bermula pada Ogos 2019.
“Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2024 kemudian memutuskan bekas Perdana Menteri membela diri terhadap semua pertuduhan,” jelasnya lagi.
Najib didakwa atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Fasa hujahan lisan yang akan bermula esok dijangka meringkaskan hujah kedua-dua pihak sebelum mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan muktamad.