Isu pembangunan Kampung Sungai Baru.
Isu pampasan buat penduduk Kampung Sungai Baru yang terjejas akibat projek pembangunan di kawasan tersebut telah pun diselesaikan sepenuhnya, dengan bayaran yang dibuat mencecah sehingga RM2.9 juta bagi sesetengah pemilik rumah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, kesemua bayaran pampasan telah berjaya disalurkan kepada penduduk dalam tempoh antara Februari 2022 hingga Januari 2023 yang lepas.
“Nilai pampasan itu turut merangkumi kos pindah, sewaan, fi penilaian serta kos kehilangan pendapatan.
“Fakta ini menangkis tuduhan bahawa ada penduduk yang masih tidak menerima pampasan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Malah, bayaran turut dibuat kepada penyewa yang terkesan, bukan hanya pemilik rumah.
Jumlah pampasan yang ditawarkan adalah berdasarkan nilai pasaran semasa yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.
Bagi rumah jenis teres, pampasan diberikan dalam lingkungan RM800,000 hingga RM2.9 juta, manakala bagi pemilik flat, nilainya adalah antara RM198,000 hingga RM350,000.
Dr Zaliha turut memaklumkan tawaran pampasan yang diberikan semasa proses pengambilan tanah itu sebenarnya lebih tinggi berbanding nilai pasaran sebenar pada tahun 2015 dan 2019, yang mencatatkan harga yang jauh lebih rendah.
Bagi penduduk yang masih tidak berpuas hati, saluran undang-undang boleh digunakan bagi mendapatkan pampasan sewajarnya.
“Mereka boleh menggunakan saluran undang-undang sedia ada dan kerajaan sentiasa menghormati keputusan mahkamah.”
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan proses perbicaraan tidak akan menghalang kelangsungan projek pembangunan di Kampung Sungai Baru.
Sebagai langkah sokongan, DBKL telah menawarkan penempatan sementara di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan kadar sewa yang berpatutan.
Di Residensi Sungai Udang, misalnya, penduduk hanya perlu membayar sewa RM350 untuk tahun pertama.
Proses pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, yang melibatkan 67 buah rumah teres dan 14 blok pangsapuri, telah bermula sejak tahun 2016.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri