Pengerusi, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi bin Abdul Manan.
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan (BiPPA) menggesa Ahli Parlimen Pasir Putih, Nik Zawawi Salleh, tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan didakwa menyentuh dan memperlekehkan para sahabat Rasulullah SAW dalam satu ceramah yang kini tular di media sosial.
Pengerusinya, Haji Amidi Abdul Manan berkata kenyataan itu mengejutkan masyarakat Islam di negara ini kerana ia mengandungi dakwaan yang dianggap tidak wajar terhadap golongan sahabat Nabi yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sejarah Islam.
Menurut beliau, sehingga kini tiada penjelasan rasmi diberikan walaupun isu tersebut sudah lebih 24 jam diperkatakan dalam ruang awam.
“Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengungkit atau menyebut kembali perilaku para sahabat ketika zaman jahiliah selepas mereka memeluk Islam.
“Mereka adalah insan yang banyak berkorban demi agama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan para sahabat terlalu besar dalam menyebarkan Islam, malah keimanan serta kesetiaan mereka kepada Rasulullah SAW tidak pernah dipersoalkan.
Katanya, Islam sememangnya mempunyai kekuatan untuk mengubah manusia dan masyarakat ke arah lebih baik, justeru tidak timbul keperluan untuk membawa contoh yang dianggap jelik atau pelik berkaitan para sahabat.
BiPPA turut mendesak kepimpinan tertinggi PAS menyatakan pendirian sekiranya Nik Zawawi gagal memberikan penjelasan terhadap isu berkenaan.
“PAS juga perlu memohon maaf kepada masyarakat Islam di Malaysia kerana kenyataan ini dilihat mencemarkan kemurnian Islam,” katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas satu rakaman ceramah yang dikaitkan dengan Nik Zawawi tersebar luas di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Sebahagian pengguna media sosial menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak sensitif kerana melibatkan penghormatan terhadap para sahabat Nabi yang sangat dimuliakan dalam Islam.
Dalam pada itu, Amidi menegaskan ancaman terhadap imej Islam di negara ini bukan berpunca daripada kepelbagaian kaum dan agama, sebaliknya daripada sikap segelintir individu yang didakwa gagal menjaga adab ketika berbicara soal agama.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
BN hampir selesai rundingan kerusi, fokus kempen berteraskan dasar: Asyraf Wajdi
Sidang khas DUN Selangor fokus pakej bantuan, bukan PRN: Amirudin
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar