PAS jauhkan diri daripada kenyataan menantu Hadi dalam isu lantikan ATM

June 26, 2025 · Politik

Kenyataan dibuat oleh Ketua PAS Bahagian Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad bukan pendirian parti tersebut, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PAS itu menjelaskan kenyataan dibuat Zaharuddin yang juga menantu Presiden parti, Abdul Hadi Awang itu berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan yang sah.

Takiyuddin tidak menyebut nama pemimpin itu tetapi dipercayai merujuk kepada catatan Facebook Zaharuddin yang membuat spekulasi mengenai kemungkinan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu menjelang tahun 2058 dengan muatnaik gambar pelantikan Johny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Takiyuddin berkata pihaknya memandang serius perkara sebegitu.

“Pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan, malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS yang sah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan PAS, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti atau kenyataan rasmi yang dibuat dari masa ke masa.

“PAS komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat kita yang perlu dipupuk dengan sebaik-baiknya,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Takiyuddin mengingatkan bahawa salah satu syarat untuk menjadi ahli PAS adalah “mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari semasa ke semasa.

“Justeru PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat,” tambahnya.

Catatan Zaharuddin yang sudah dipadamkan itu mencadangkan dasar imigresen seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) boleh membawa kepada kemunculan perdana menteri bukan Melayu pada masa hadapan.

MM2H ialah program yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan syarat memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.

Zaharuddin mengiringi hantaran tersebut dengan tangkap layar laporan berita mengenai penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Lim.

Hantaran itu mencetuskan kemarahan ramai, termasuk veteran tentera yang menganggapnya sebagai penghinaan kepada integriti ATM dan institusi Raja.

Takiyuddin dalam kenyataannya menegaskan kepelbagaian dan perbezaan latar belakang tidak boleh sama sekali dijadikan alasan atau sebab untuk berlaku tidak adil terhadap mana-mana anggota masyarakat.

“Ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghalang kemajuan, peluang, pencapaian, kebolehan atau cita-cita sah mana-mana individu dan kalangan,” katanya.

Kata Takiyuddin, penganugerahan Lim sebagai peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat.

“Bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.

“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya.

“Tahniah daripada PAS buat Leftenan Jeneral Dato’ Johnny Lim,” katanya.

Berita berkaitan
Dakwaan tawaran AS jatuhkan kerajaan: Polis terima 12 laporan terhadap Hadi
4 jam lalu· Politik
Mahfuz: PAS jangan jadikan syurga sebagai umpan undi
7 jam lalu· Politik
Bukit Aman hubungi Hadi dakwaan AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan Malaysia
10 jam lalu· Politik
AS nafi campur tangan, AMK desak Hadi tampil dengan bukti
11 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
PRN Melaka makin dekat, DUN bubar dua Jumaat lagi Rauf beri bayangan
11 jam lalu · Politik
Dakwa kuasa asing terlibat, kenapa tak lapor polis soal ketua AMK
11 jam lalu · Politik
Tiada retak dalam hubungan PH-BN, kerajaan masih utuh: Chang Lih Kang
12 jam lalu · Politik
PRU-16 awal: AMK dakwa UMNO mahu beri laluan PAS jadi PM
14 jam lalu · Politik
Isu campur tangan AS, PKR Setiawangsa buat laporan polis terhadap Hadi
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok