Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
PAS tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan di negeri-negeri Gabungan SG4, sebaliknya mencadangkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan itu lebih mudah untuk rakyat selain dilihat dapat mengukuhkan kerjasama politik antara parti yang mentadbir negeri-negeri terbabit.
Menurutnya, keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri SG4 tetap bergantung kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN), namun beliau berpandangan pilihan raya serentak lebih sesuai.
“Tidak payah negeri lah, buat PRU terus. Buat semua sekali termasuk negeri-negeri. Buat sekali gus tidak cerewet sangat, lepas satu-satu (perlu mengundi), rakyat kasihanlah,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.
Abdul Hadi ditanya mengenai cadangan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan supaya kerjasama politik dalam gabungan SG4, membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, diuji menerusi PRN.
Mohamad sebelum ini dilaporkan mencadangkan supaya PRN di salah sebuah negeri SG4, khususnya Terengganu, dijadikan medan untuk melihat sejauh mana keikhlasan parti-parti yang terlibat dalam kerjasama politik.
Beliau juga dilaporkan berpandangan pembahagian kerusi pada PRN mampu menjadi ukuran sama ada kerjasama atas nama penyatuan ummah Melayu benar-benar dilaksanakan secara bersama atau hanya memberi manfaat kepada satu pihak.
Bagaimanapun, Abdul Hadi mengambil pendekatan berbeza dengan mencadangkan supaya pilihan raya negeri tidak diadakan secara berasingan.
Cadangan itu turut memberi gambaran mengenai pendekatan PAS dalam menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya membabitkan negeri-negeri yang ditadbir PN.
SG4 merujuk kepada kerjasama empat negeri di bawah pentadbiran PAS dan PN, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Gabungan itu sebelum ini diwujudkan bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek pentadbiran, ekonomi dan kepentingan bersama.
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum