PAS.
PAS memberi isyarat jelas tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu kepada parti lain dalam rundingan pembahagian kerusi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Dewan Pemuda PAS meluluskan usul secara sebulat suara supaya calon parti itu terus bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini.
Usul yang dibawa perwakilan Dewan Pemuda PAS Padang Terap itu diterima tanpa perbahasan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-67, malam tadi.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pendirian itu menjadi prinsip utama parti dalam sebarang rundingan kerusi dengan rakan politik.
“Kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi PAS perlu dikekalkan dan ditandingi PAS pada pilihan raya akan datang dalam apa juga bentuk kerjasama politik dengan sesiapa saja.
“Itu diterima tanpa bahas dan menjadi dasar serta prinsip utama PAS dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi bersama parti gabungan,” katanya.
Pendirian itu dilihat memperkukuh kedudukan PAS menjelang PRU-16, terutama selepas parti berkenaan mencatat prestasi besar pada PRU-15 dan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas itu.
PAS memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU-15, selain menguasai lebih 150 kerusi DUN selepas beberapa siri PRN termasuk PRN 2023.
Dengan keputusan Pemuda PAS itu, sebarang rundingan kerusi bersama parti lain dijangka mengambil kira terlebih dahulu kerusi yang kini dikuasai parti berkenaan.
Khairul Nadzir berkata, lima lagi usul turut diluluskan pada muktamar itu, termasuk tiga usul yang diterima dan dibahaskan serta dua usul berbentuk cadangan.
Antara usul yang dibahaskan ialah desakan supaya kerajaan segera membuka kertas siasatan dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan jaringan ‘mafia korporat’ membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkepentingan dan projek kerajaan.
Usul mengenai penyatuan ummah sebagai agenda nasional bagi memperkukuh kesatuan serta perwakilan politik Melayu-Islam di Parlimen menjelang PRU akan datang turut diterima tanpa perbahasan.
“Sebagai langkah awal, satu himpunan penyatuan ummah berskala besar hendaklah digerakkan sebelum PRU bagi menghimpunkan kekuatan umat, membina momentum kebersamaan dan menterjemahkan aspirasi penyatuan kepada satu gerakan rakyat yang tersusun dan berimpak,” katanya.
Satu lagi usul yang diterima selepas perbahasan pula mendesak kerajaan memperkenalkan kerangka kawal selia e-dagang lebih tegas bagi melindungi serta memperkasa daya saing usahawan tempatan daripada persaingan tidak adil.
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
AGC: Kerajaan Negeri Sembilan tiada kuasa gantung dua pegawai kanan
Sivamalar soal Akmal: Kenapa diam isu Istana Negeri Sembilan?
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum