Bursa Malaysia.
Pelabur asing terus menunjukkan keyakinan terhadap pasaran saham tempatan apabila kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut.
Menurut laporan aliran dana oleh MBSB Investment Bank Bhd bagi minggu berakhir 13 Februari 2026, aliran masuk asing bersih melonjak kepada RM377.2 juta berbanding RM15 juta minggu sebelumnya, lapor Bernama.
Firma itu menyatakan pelabur asing membeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan, dengan hanya satu hari mencatat aliran keluar.
“Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM281.7 juta, diikuti Isnin RM135.8 juta, Khamis RM100.4 juta dan Selasa RM37.7 juta,” menurut laporan tersebut.
Tiga sektor yang menerima aliran masuk asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan logistik serta pembinaan. Dalam masa sama, sektor penjagaan kesihatan, teknologi dan perladangan mencatat aliran keluar asing bersih.
Laporan itu turut menyebut institusi tempatan mencatat jualan bersih RM211.5 juta, meneruskan trend dua minggu berturut-turut.
Peruncit tempatan juga kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM165.7 juta. Purata jumlah dagangan harian pula menurun merentasi semua kumpulan pelabur.
Di peringkat serantau, pelabur asing kembali mencatat aliran masuk bersih sebanyak US$10.89 bilion selepas tiga minggu jualan bersih.
Aliran ini dipacu aktiviti belian di Taiwan, diikuti Korea Selatan, India, Thailand, Vietnam dan Filipina, manakala Indonesia sahaja mencatat aliran keluar.
Pasaran saham Malaysia sebelum ini berdepan tekanan aliran keluar asing sepanjang 2024 hingga awal 2025 susulan ketidaktentuan global dan kadar faedah tinggi.
Bagaimanapun, kestabilan ekonomi domestik dan prospek pertumbuhan sederhana dilihat mula menarik semula minat dana antarabangsa.
“Jika momentum ini berterusan, ia boleh menyokong sentimen pasaran tempatan dalam tempoh terdekat, walaupun turun naik global masih menjadi risiko,” menurut penganalisis.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar