Penghantaran pulang pelarian Myanmar dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.
Pelarian warganegara Myanmar yang dihantar pulang menerusi Program Penghantaran Pulang Fasa Pertama di Lumut, Perak pada 29 September lalu, menjalani saringan dan proses verifikasi ketat sebelum dibawa pulang secara sukarela, selamat serta bermaruah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata proses itu meliputi pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan dan semakan identiti bagi memastikan setiap individu yang dihantar pulang dikenal pasti dengan tepat.
Menurut KDN, senarai nama mereka terlebih dahulu disahkan kerajaan Myanmar dan dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
“Kerajaan memastikan proses penghantaran dibuat secara selamat, teratur, bertanggungjawab dan bermaruah berdasarkan proses serta prosedur yang dipersetujui antara kedua-dua negara,” menurut KDN menerusi dokumen Soalan Lazim (FAQ) mengenai program berkenaan.
Bagi fasa pertama, proses akhir dilaksanakan di Stadium Daerah Manjung sebelum individu terbabit dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk urusan penghantaran.
KDN menjelaskan program itu sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang tanpa izin menerusi penguatkuasaan undang-undang, pengurusan tahanan serta penghantaran pulang ke negara asal secara tersusun dan bertanggungjawab.
Langkah berkenaan juga dilihat dapat mengurangkan tempoh penahanan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap kapasiti serta kos operasi Depot Tahanan Imigresen (DTI).
“Setakat 31 Ogos lalu, terdapat sebanyak 11,804 warganegara Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen dan Baitul Mahabbah di seluruh negara,” menurut KDN.
Jumlah tahanan yang tinggi serta tempoh penahanan panjang memberi tekanan kepada kapasiti depot selain meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
Atas faktor itu, Malaysia dan Myanmar bersetuju melaksanakan program penghantaran pulang secara berperingkat menerusi kerjasama dua hala. Kerajaan Myanmar turut menyatakan komitmen menerima kepulangan 5,000 warganya sepanjang tahun ini.
KDN menjadi penyelaras utama program itu, manakala Jabatan Imigresen bertindak sebagai agensi operasi. Pelaksanaannya turut membabitkan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, TLDM dan agensi keselamatan berkaitan.
Fasa pertama pada 29 September lalu menyaksikan 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang menggunakan tiga kapal milik Tentera Laut Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital.
Operasi itu melibatkan tahanan dari 14 DTI di seluruh negara, dengan jumlah terbesar datang dari Depot Belantik di Kedah dan Depot Tanah Merah di Kelantan.
Sementara itu, bagi fasa kedua, sebanyak 3,524 tahanan Myanmar dipersetujui untuk dihantar pulang secara sukarela ke negara asal.
Program berkenaan menjadi antara langkah kerajaan mengurus isu tahanan warga asing secara lebih tersusun, selain memperkukuh kerjasama Malaysia-Myanmar dalam menangani migrasi tidak teratur.
Enam negeri dapat RM21.26 bilion untuk belanja pembangunan: Menteri Ekonomi
Anwar kecam dunia gagal bela Palestin
PMX antara pemimpin dunia paling lantang perjuang Palestin: Fahmi
Lelaki Islam, ibu ditahan JAIS berhubung ritual agama lain
Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum