Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap semasa perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara.
Anwar Ibrahim menegaskan semua pembinaan rumah ibadat di negara ini mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, tanpa mengira agama.
Perdana Menteri berkata Perlembagaan memang menjamin kebebasan beragama, namun pelaksanaannya tetap tertakluk kepada garis panduan sedia ada bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara dan pembinaan tanpa kelulusan tidak boleh dibiarkan berleluasa.
“Kita tidak boleh biarkan rumah ibadat tanpa kebenaran bercambah di mana-mana saja, sama ada di bawah pokok atau di lokasi lain. Amalan ini mesti dihentikan,” katanya pada satu majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara hari ini.
Beliau turut menambah kawalan pembinaan rumah ibadat bukan hanya diamalkan di Malaysia, malah turut dilaksanakan di negara lain seperti India dan China.
“India pun tidak membenarkan pembinaan tanpa kelulusan, kecuali kuil yang dibina secara sah. Jadi marilah kita belajar daripada ini,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat susulan ketegangan berkaitan isu rumah ibadat haram yang kembali hangat baru-baru ini, termasuk protes semasa lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke Malaysia.
Insiden tersebut menyaksikan hampir 20 individu ditahan polis.
Malaysia merupakan negara berbilang agama dan kaum, menjadikan isu sensitiviti agama sering menjadi perhatian kerajaan.
Pendekatan kawal selia pembinaan rumah ibadat dilihat sebagai usaha mengekalkan keseimbangan antara kebebasan beragama dan ketenteraman awam.
Anwar turut menegaskan pihak berkuasa tempatan telah diarahkan mengambil tindakan termasuk merobohkan binaan tanpa kelulusan, namun semua tindakan mesti melalui proses undang-undang.
“Walaupun mereka salah, sebarang tindakan mestilah mengikut jalur undang-undang. Jangan kita panaskan lagi suasana. Apa yang meningkat hanyalah kebencian dan permusuhan,” katanya.
Beliau mengakui dasar itu mungkin tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan demi memastikan negara kekal berlandaskan undang-undang.
Bagi rumah ibadat lama yang perlu dipindahkan, beliau berkata pengurusan boleh mengemukakan rayuan kepada pihak berkaitan untuk pertimbangan lanjut.
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum