Isu politik Negeri Sembilan.
Pemuda Amanah Negeri Sembilan membantah keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu susulan krisis politik yang tercetus baru-baru ini.
Pengarah Komunikasinya, Zainal Lutfi berkata keputusan tersebut mengecewakan penyokong serta jentera PH kerana masih membuka ruang kerjasama dengan pihak yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan negeri.
“Keputusan pimpinan PH-BN untuk mengekalkan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan seolah-olah menghina penggerak dan pengundi PH di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kemelut politik itu berpunca daripada tindakan UMNO yang didakwa mahu menukar jawatan menteri besar sehingga mencetuskan krisis pentadbiran negeri.
“Adalah kerja gila untuk membuat kerjasama kembali dengan pihak yang secara jelas telah berkhianat,” katanya lagi.
Terdahulu, PH dan UMNO mencapai persetujuan untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan selepas mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Mei lalu.
Krisis politik Negeri Sembilan tercetus apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO pada 27 April lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan PH.
Bagaimanapun, UMNO Negeri Sembilan kemudian menegaskan mereka masih menyokong Kerajaan Perpaduan, namun tetap menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.
Susulan perkembangan itu, Aminuddin pada 6 Mei memberi bayangan kemungkinan pilihan raya negeri mengejut boleh berlaku sekiranya kemelut berterusan.
Dalam pada itu, Zainal turut mempersoalkan tindakan pimpinan PH-BN yang didakwa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ADUN BN yang terlibat dalam krisis tersebut.
“Permohonan maaf tidak cukup. Hukuman yang lebih tegas perlu diberikan jika mahu membina semula Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan jawatan ketua kampung dan ahli majlis daripada BN dikosongkan segera serta mencadangkan pilihan raya kecil di kerusi dimenangi BN hasil kerjasama PH sebelum ini.
Menurutnya, beberapa kerusi BN pada Pilihan Raya Negeri lalu berjaya dimenangi hasil sokongan pengundi PH, termasuk pengorbanan Amanah yang memberi laluan kepada BN bertanding di kerusi Lenggeng.
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar