Arahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang melarang hiasan Krismas di hotel serta premis makanan dan minuman yang memiliki sijil halal.
Pemuda DAP Melaka mempersoalkan arahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang melarang hiasan Krismas di hotel serta premis makanan dan minuman yang memiliki sijil halal, dengan menyifatkannya sebagai tindakan melampaui bidang kuasa.
Dalam satu kenyataan hari ini, pergerakan itu menegaskan bahawa walaupun kepentingan pensijilan halal kepada umat Islam dihormati, larangan berkenaan dilihat seolah-olah “mengawal ekspresi budaya komuniti lain” dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri itu.
“Ia bukan sahaja mencetuskan kekeliruan kepada pemain industri, malah mengancam ekonomi berasaskan pelancongan serta reputasi Melaka sebagai destinasi yang inklusif,” kata Pemuda DAP Melaka.
Arahan bertarikh 16 Disember itu menyatakan dapur dan hotel bersijil halal tidak dibenarkan mempamerkan hiasan Krismas kerana ia diklasifikasikan sebagai perayaan agama, bukan budaya, dan dikhuatiri boleh menimbulkan isu berkaitan akidah umat Islam.
Mengulas perkara tersebut, Pemuda DAP Melaka menyifatkan pendekatan itu sebagai berpandangan sempit dan cetek, memandangkan Krismas telah lama diraikan di Malaysia sebagai sambutan budaya dan sosial yang melangkaui batas agama.
“Tindakan melabelkannya sebagai ancaman agama secara tiba-tiba hanya berisiko menjejaskan keharmonian antara agama,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut mereka, hotel, premis makanan serta jenama antarabangsa telah membuat pelaburan besar untuk hiasan dan promosi bermusim, justeru pelaksanaan sekatan hanya beberapa minggu sebelum Krismas boleh mengganggu operasi, kempen pemasaran dan keyakinan perniagaan.
Pemuda DAP Melaka turut memaklumkan isu itu telah disampaikan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Allex Seah, selain dibangkitkan kepada Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
“Perkara ini dijangka dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri akan datang,” menurut kenyataan itu.
Khairy dan Hishammuddin antara yang diterima balik masuk UMNO: Asyraf Wajdi
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan