Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan tidak terlibat secara langsung dalam pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia UNESCO, sebaliknya usaha tersebut digerakkan oleh badan profesional bebas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencalonan berkenaan dipelopori oleh International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) Malaysia, sebuah organisasi yang terlibat dalam pemeliharaan dan perlindungan warisan budaya negara.
“Kerajaan menyokong sepenuhnya usaha ini selagi ia dibuat secara inklusif dan melibatkan semua jenis kampung, sama ada Kampung Melayu, Kampung Cina atau Kampung India,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata sebarang pengiktirafan UNESCO bukan sahaja membawa nilai simbolik, malah memberi manfaat besar kepada negara.
“Kalau mana-mana kampung di Malaysia diiktiraf di peringkat dunia, itu adalah kebanggaan untuk semua rakyat, bukan satu kaum sahaja,” katanya.
Isu pencalonan Kampung Baru Cina menjadi perhatian selepas ia disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, sekali gus mencetuskan persoalan tentang peranan kerajaan dan implikasinya terhadap perpaduan nasional.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata pengiktirafan antarabangsa terhadap warisan tempatan berpotensi meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam konteks itu, KPKT bersedia memainkan peranan sebagai penghubung antara pertubuhan profesional dan pemimpin tempatan yang berkaitan.
Selain isu warisan, beliau turut menekankan komitmen kementerian dalam menjaga kebajikan rakyat berbilang kaum melalui pelbagai peruntukan pembangunan.
Antaranya, RM15 juta telah disediakan untuk pembangunan perkampungan kaum India bermula tahun lalu.
Melalui Belanjawan Madani keempat, KPKT memperuntukkan sebanyak RM87 juta bagi menaik taraf kemudahan asas dan sosial di Kampung Baru Cina serta perkampungan India di seluruh negara.
Menurutnya lagi, antara inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan ialah Pertandingan Kampung Good yang bertujuan mengenal pasti produk kampung berpotensi untuk dikomersialkan.
“Ini bukti kerajaan serius beri perhatian sama rata kepada semua komuniti dan merapatkan jurang sosioekonomi,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan inklusif seperti ini penting untuk memastikan pembangunan negara terus bergerak ke depan tanpa meninggalkan sesiapa.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
Kawalan ketat SPRM semasa program Azam Baki, elak kekecohan berulang
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan