Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan penting dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan penting dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, sempena kunjungan rasmi pimpinan bola sepak antarabangsa itu ke Malaysia.
Pertemuan itu menyaksikan perbincangan berfokus kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN.
Pertemuan ini dilihat sebagai satu langkah positif memandangkan bola sepak Malaysia pernah melalui fasa suram, termasuk sekatan serta teguran daripada FIFA berhubung isu pengurusan yang pernah membelenggu persatuan bola sepak negara.
Dalam pertemuan tersebut, kerjasama melalui projek FIFA Arena dan Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA menjadi teras perbincangan.
Anwar berkata, inisiatif ini bakal membuka lembaran baharu untuk masa sukan paling popular di negara ini.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara,” jelas Anwar dalam satu hantaran di akaun Facebooknya.
Beliau turut menekankan Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA itu merupakan satu langkah strategik ke arah menjadikan rantau ini sebagai sebuah kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global.
Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak secara holistik.
Langkah ini merangkumi peningkatan kemudahan, program latihan berstruktur, serta kerjasama strategik yang berterusan dengan FIFA.
Usaha tersebut dilihat sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, sekaligus memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama Malaysia sebagai hab pembangunan bola sepak serantau yang dinamik.
MCMC dan Maktab PDRM lancar kursus khas bersama perkasa pertahanan siber negara
Polis larang perhimpunan di Ampang Park esok, jaga kelancaran Sidang ASEAN
Ribut petir landa enam negeri hingga 6 petang ini: Laporan
ASEAN perkukuh kerjasama perangi jenayah siber dan rentas sempadan: Mohamad
Banjir di tiga negeri masih kritikal, mangsa meningkat
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa