PKR Pasir Mas bidas Rafizi, diingatkan jangan jadi seperti Azmin

April 7, 2026 · Politik

Kenyataan terbuka oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, terhadap parti sendiri mencetuskan kegusaran dalam kalangan ahli apabila dilihat menyerupai corak politik yang pernah membawa kepada perpecahan dalaman sebelum ini.

Ketua Cabang PKR Pasir Mas Mohd Izhan Ramli berkata, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan besar dalam kalangan akar umbi yang tidak mahu episod lama berulang.

Menurut beliau, Rafizi sebelum ini pernah memberi jaminan dirinya bukan individu yang akan merosakkan parti dari dalam atau mengkhianati kepimpinan parti.

“Beliau pernah menyatakan dirinya tidak akan merosakkan parti dari dalam dan tidak akan mengkhianati kepercayaan Presiden, Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Mohd Izhan mendakwa situasi semasa menunjukkan perubahan ketara apabila Rafizi dilihat semakin lantang mengkritik secara terbuka dengan nada yang boleh menjejaskan kepimpinan parti.

“Kata-kata itu kini kedengaran kosong apabila kenyataan demi kenyataan dibuat secara terbuka dengan nada yang memperlekeh kepimpinan. Ini bukan lagi soal perbezaan pandangan, tetapi arah yang sedang dipilih,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perkembangan itu menyerupai episod melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang bermula dengan kritikan terbuka sebelum berakhir dengan perpecahan besar parti.

Untuk rekod, krisis dalaman PKR pada 2020 menyaksikan pemecatan Azmin susulan kemelut politik yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, sekali gus memberi kesan besar kepada landskap politik negara.

“Inilah corak yang pernah kita lihat – bermula dengan kritikan terbuka, kemudian naratif mempersoalkan kepimpinan, dan akhirnya membawa kepada perpecahan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mohd Izhan mempersoalkan sama ada parti bersedia menghadapi kemungkinan berulangnya krisis sama yang boleh menggugat kepercayaan ahli dan penyokong.

“Apakah kita mahu ulang sejarah yang sama? Jangan sampai ada lagi tokoh yang akhirnya dilihat sebagai ‘Azmin Ali 2.0’,” katanya.

Beliau menegaskan perjuangan parti tidak seharusnya dipengaruhi kepentingan individu atau percaturan politik jangka pendek yang boleh menjejaskan kestabilan parti.

Berita berkaitan
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
9 jam lalu· Politik
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
13 jam lalu· Politik
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
13 jam lalu· Politik
PH mahu menang atas kekuatan sendiri, bukan kelemahan lawan: Fahmi
14 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Kawal mulut timbalan dan ketua pemuda UMNO dulu: DAPSY beritahu Zahid
9 jam lalu · Politik
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
12 jam lalu · Politik
PRN berasingan bukan faktor kelebihan kepada BN: Khaled
14 jam lalu · Politik
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
14 jam lalu · Politik
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok