Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di Cebu hari ini bagi memperkukuh kerjasama pembangunan dan ekonomi serantau.
Sidang kemuncak itu menghimpunkan pemimpin dari negara anggota sub-rantau bagi membincangkan usaha mempercepat pembangunan mampan, meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Mohamad Hasan.
BIMP-EAGA ditubuhkan pada 1994 sebagai inisiatif kerjasama sub-rantau melibatkan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina, dengan fokus mempercepat pembangunan kawasan kurang membangun melalui perdagangan, pelaburan dan projek infrastruktur bersama.
Dalam ucapan pembukaan, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.
“Visi BIMP-EAGA 2035 bukan sekadar pelan integrasi ekonomi, tetapi komitmen untuk memastikan pembangunan mampan yang benar-benar memberi kesan kepada komuniti di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata pelbagai program dan projek utama yang dilaksanakan setakat ini telah membawa perubahan ketara, termasuk penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan jaringan pengangkutan serta pembukaan lebih banyak peluang ekonomi di kawasan pertumbuhan sub-rantau.
“Ini membuktikan bahawa kerjasama serantau akan memberi impak paling besar apabila manfaatnya sampai terus kepada masyarakat tempatan,” katanya lagi.
Marcos turut menggesa negara anggota supaya memperbaharui komitmen bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
“Rantau ini perlu kekal saling berhubung, berdaya tahan dan makmur demi generasi akan datang,” katanya.
Kehadiran Anwar pada sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau, khususnya di kawasan timur ASEAN yang mempunyai potensi besar tetapi masih memerlukan pembangunan berterusan.
Fahmi menghadap Sultan Selangor sembah isu akaun palsu kerabat diraja
Pemandu mabuk didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, ibu muda maut dirempuh
Kes 61 tikaman Kelantan: Reman dua remaja dilanjutkan
Ekonomi negara kekal kukuh meskipun konflik Asia Barat memuncak: Gabenor
Ringgit dibuka kukuh, disokong keputusan kekalkan OPR
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan