Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas permohonannya untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi ditolak sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Amer Hamzah Arshad, ketika prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menurut beliau, notis rayuan telah difailkan pada 6 Mei lalu.
“Buat masa ini kami akan meneruskan prosiding sedia ada dan memohon satu tarikh baharu untuk pengurusan kes,” katanya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Hakim kemudian menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shamsul Iskandar untuk memindahkan kes berkenaan dengan alasan beliau gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan telah diserahkan kepada pihak pembelaan, manakala baki dokumen lain akan dikemukakan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Shamsul Iskandar memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan ia melibatkan isu Perlembagaan Persekutuan dan persoalan undang-undang yang kompleks.
Pihak pembelaan turut berhujah pemindahan itu tidak akan memudaratkan mana-mana pihak, sebaliknya memudahkan proses penentuan isu secara lebih teratur.
Pada Disember tahun lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas beberapa pertuduhan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan bagi membantu mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Antara pertuduhan dihadapi termasuk menerima wang tunai berjumlah RM140,000 serta perabot dan barangan elektrik bernilai lebih RM36,000. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara November 2023 hingga Mac 2024 di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sehari selepas itu, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan membabitkan suapan RM62,924 yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita untuk tujuan sewaan rumah di Kuala Lumpur.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar