Muhyiddin Yassin.
Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa kerajaan agar menggunakan segala saluran diplomatik dan perundangan bagi memastikan keselamatan serta pembebasan segera semua sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang telah dipintas oleh tentera Israel.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang beliau sifatkan sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang menceroboh serta menghalang misi kemanusiaan ini.
“Konvoi ini membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Gaza yang sedang menderita,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menekankan bahawa serangan terhadap sukarelawan Malaysia ini adalah satu penghinaan kepada maruah negara.
“Serangan terhadap sukarelawan Malaysia dalam misi ini adalah serangan terhadap maruah negara kita,” tegasnya lagi.
Beliau juga menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar tidak lagi berdiam diri dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel.
Muhyiddin menegaskan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang kali dilakukannya.
Laporan media tempatan mengesahkan bahawa 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan telah dipintas oleh tentera Israel di perairan Gaza.
Antara sukarelawan yang terlibat termasuklah pendakwah bebas Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat, penyanyi Heliza Helmi bersama adiknya, dan beberapa nama lain yang berada di dalam beberapa buah kapal berbeza.
“Israel boleh menghalang kapal, tetapi tidak akan mampu menangkis gelombang solidariti yang semakin membesar di seluruh dunia untuk membela Palestin. Perjuangan ini ialah perjuangan kemanusiaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin,” ujarnya lagi.
Tekad beliau mencerminkan pendirian teguh Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri