
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan.
Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaannya untuk mewajibkan setiap Ahli Parlimennya yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta sekiranya gabungan itu kembali memerintah di Putrajaya.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu tidak akan menjadi satu isu bagi wakil rakyat gabungan itu yang diberi mandat dalam pentadbiran.
“Sudah tentu tiada masalah untuk (wakil rakyat PN dilantik menjadi anggota pentadbiran) mengisytiharkan harta jika PN kembali ke Putrajaya,” katanya dipetik laporan FMT.
Beliau menjelaskan kewajipan itu wajar digunapakai kepada mereka yang memegang portfolio menteri kerana mereka tidak dibenarkan untuk terlibat secara langsung dalam sebarang kegiatan perniagaan.
Walau bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan bpada masa ini, tiada keperluan untuk wakil rakyat pembangkang mengisytiharkan harta mereka memandangkan mereka tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Isytihar harta atau tidak, wakil rakyat biasa sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, yang dibenarkan menjalankan perniagaan, tetap wajib mengisytiharkan pendapatan tahunan kepada LHDN,” tambahnya.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan media sebelum ini mengenai gesaan berulang daripada badan pemantau pilihan raya, Bersih, supaya semua Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta mereka.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, sebelum ini mendedahkan hanya ahli politik daripada PKR sahaja yang telah membuat pengisytiharan harta secara terbuka sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022.
Individu terkemuka yang telah melakukan pengisytiharan tersebut termasuklah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang pada masa itu merupakan Ketua Pembangkang, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Bersih juga baru-baru ini menggesa semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan hadapan untuk mengisytiharkan harta masing-masing sebagai langkah meningkatkan ketelusan, terutamanya berkenaan dengan dana dan sumber kempen pilihan raya.