Kes polis.
Polis sudah merakam keterangan dua individu berhubung dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata, dua individu terbabit ialah pengadu dan seorang saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan.
Menurutnya, proses siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti setiap maklumat yang diterima setakat ini.
“Dua individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, iaitu pengadu dan seorang saksi. Beri ruang dan masa kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya dipetik laporan media.
Beliau turut memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa lagi individu sekiranya diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Isu berkenaan mula menjadi perhatian selepas Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, minggu lalu mengesahkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan kewujudan komplot menjatuhkan kerajaan yang dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.
Siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang diterima pada Khamis lalu.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa menjadi dalang kepada gerakan berkenaan dengan menggunakan platform media antarabangsa serta khidmat pelobi luar negara bagi memberi tekanan terhadap pihak berkuasa.
Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan kemudiannya tular di media sosial.
Pengadu mendakwa gerakan itu turut menyasarkan tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, termasuk berkaitan siasatan yang sedang dijalankan terhadap individu tertentu.
Kes saman Rosmah: Saksi dedah wang, barang kemas bertaburan dalam serbuan Pavilion
Tangguh PRN: Mat Maslan jelaskan itu pandangan peribadi
Rosmah nafi hilangkan barang kemas dari Lubnan
AMK Johor cadang tangguh PRN, fokus bantu rakyat hadapi krisis
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan