PRN Melaka: Amanah masih buka ruang kerjasama, tunggu ‘jodoh’ politik

October 4, 2026 · Politik

Rundingan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih terbuka, kata Parti Amanah.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, parti itu lebih mengutamakan kerjasama dengan rakan yang ikhlas dan mempunyai matlamat sama bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri selepas PRN.

Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad mengenai bentuk kerjasama politik di Melaka dan keputusan akhir akan ditentukan kepimpinan parti.

“Pendirian Amanah ialah untuk mencari rakan-rakan yang ikhlas untuk memerintah Melaka ini. Keikhlasan itulah yang akan membentuk satu kestabilan dalam kerajaan.

“Siapa rakan kita itu, biarlah rahsia. Masih terbuka lagi,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM bersama nelayan kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tinjong Nibong, Telok Mas, hari ini.

Beliau berkata, pandangan semua parti komponen PH termasuk DAP akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH minggu depan.

Katanya, Amanah berpandangan kerjasama dengan parti yang berkongsi matlamat untuk membentuk kerajaan stabil lebih baik berbanding bergerak secara bersendirian.

“Pandangan-pandangan itu kita akan ambil kira. Tetapi Amanah berpandangan berpadu dengan rakan sekutu yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil di Melaka ini lebih baik,” katanya.

Mengulas sama ada Amanah sudah mengadakan rundingan dengan mana-mana parti, Muhammad Faiz mengakui terdapat komunikasi dengan beberapa pihak, namun enggan mendedahkan identiti parti berkenaan.

Ketika ditanya mengenai BN, beliau berkata hubungan PH dengan parti dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan tidak semestinya menggambarkan bentuk kerjasama pada PRN Melaka.

“Di peringkat nasional, kita adalah kerajaan perpaduan. Kita bersama dengan mereka di peringkat nasional. Sama ada di Melaka ini, bergantung kepada rakan yang ikhlas untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Muhammad Faiz turut berseloroh ketika menggambarkan keadaan rundingan politik yang masih belum mencapai kesepakatan.

“Kadang-kadang orang yang kita kenal itu mungkin tak ada jodoh. Jadi kita tunggu jodohnya,” katanya.

Beliau menegaskan Amanah tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti sekiranya wujud keikhlasan dan komitmen memastikan kestabilan pentadbiran negeri.

“Kita sedia bersekutu dengan siapa yang kita fikir ikhlas untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Menurutnya, Amanah juga mempunyai rekod mengekalkan kerjasama politik dan tidak mengkhianati rakan dalam pentadbiran negeri sebelum ini.

“Kita ini suami yang baik. Saya nak tegaskan, suami yang baik. Suami yang penuh dengan kasih sayang.

“Sebab itu kita tidak pernah mengkhianati mana-mana parti. Lihatlah di Perak, lihatlah di Pahang, kita tidak pernah khianat,” katanya.

Berita berkaitan
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
4 jam lalu· Politik
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
12 jam lalu· Politik
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
12 jam lalu· Politik
PRN Melaka: PAS sedia guna lambang bulan selepas PN dibatalkan RoS
16 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
11 jam lalu · Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
11 jam lalu · Politik
Abu Bakar kekal MB Perlis walaupun digantung keahlian Bersatu: Laporan
17 jam lalu · Politik
Isu mafia korporat: NGO persoal motif serangan Rafizi
17 jam lalu · Politik
PRN Melaka: Zahid sahkan BN tanding 21 kerusi, DUN beri PAS tujuh
October 21, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok