Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengumumkan pengunduran diri serta-merta daripada Pakatan Harapan (PH), dalam satu langkah yang mengejutkan bagi parti komponen gabungan itu.
Setiausaha Agungnya, Nelson W Angang, mengesahkan keputusan tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti yang diadakan di Kota Kinabalu semalam.
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta. Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan semula hala tuju parti berasaskan agenda ‘Sabah First’ yang menjadi teras perjuangannya.
Menurut Nelson, mesyuarat turut menyokong penuh keputusan Presiden UPKO, Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi baru-baru ini.
Tindakan Ewon itu berikutan ketidakpuasan hati terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding semakan kehakiman berhubung hak 40 peratus Sabah.
“Sepanjang tempoh empat tahun bersama PH, berlaku jurang interpretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional,” jelas Nelson.
Beliau turut mendedahkan beberapa isu kritikal, termasuk tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu per tiga kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.
Malah, katanya, kepengerusian PH Sabah oleh UPKO tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.
“Presiden Upko hanya dilantik sebagai penyelaras tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah,” katanya.
Walaupun keluar dari PH, Nelson memberi jaminan bahawa kedua-dua ahli parlimen UPKO, iaitu Ewon Benedick dan Wilfred Madius Tangau, akan terus menyokong kerajaan perpaduan.
“Ahli Parlimen UPKO akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga penggal ini berakhir,” tegasnya.
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Keputusan rayuan Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan diketahui hari ini
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Maszlee sedia berdebat, adakah Onn Hafiz akan sahut?
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar