Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor masih belum dimuktamadkan, sebaliknya bergantung kepada perkembangan politik semasa serta perkenan Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di bawah bidang kuasa ketua negeri berdasarkan nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri.
“Perkara ini tertakluk kepada persetujuan Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri yang mempunyai kuasa untuk pembubaran,” katanya dalam satu temu bual sempena ulang tahun UMNO di ibu negara.
Beliau turut menjelaskan aspek kewangan dan kesesuaian masa perlu dipertimbangkan, memandangkan kos penganjuran pilihan raya adalah tinggi walaupun diadakan secara serentak.
“Ia juga melihat kepada dana yang boleh digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain faktor timing dan kesesuaian,” katanya.
Isu penyelarasan pilihan raya ini timbul ketika negara berdepan cabaran ekonomi global termasuk tekanan kos dan langkah penjimatan kerajaan.
Dalam konteks ini, cadangan mengadakan pilihan raya serentak sering dilihat sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan awam dan meningkatkan kecekapan logistik.
Untuk rekod, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka berakhir pada 27 Disember ini, manakala Johor pada 21 April tahun hadapan.
Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran untuk mengadakan pilihan raya, menjadikan PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Februari 2027 dan Johor sekitar Jun 2027 jika pembubaran berlaku secara automatik.
Dalam pada itu, Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan jentera parti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa dan mengingatkan agar ahli parti tidak terlalu yakin.
“Kita mesti mendakap dan merangkul dukungan daripada mereka yang non-partisan atau belum menjadi ahli mana-mana parti, tetapi yakin dengan agenda yang kita ketengahkan untuk kepentingan semua,” katanya.
Perkembangan lanjut mengenai tarikh dan bentuk pelaksanaan pilihan raya dijangka bergantung kepada kestabilan politik semasa serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Puad diminta bertenang, Mat Maslan minta fokus bantu hadapi PRN Johor
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar