Rafizi Ramli.
Selepas tewas pemilihan PKR baru-baru ini, Rafizi Ramli menunaikan janjinya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuatkuasa 17 Jun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata sudah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Peletakan jawatan ini akan berkuatkuasa dari 17 Jun, bermula hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun,” katanya.
Menerangkan lebih lanjut, beliau mengakui menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.
Rafizi turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi dukungan penuh kepadanya sepanjang menerajui kementerian itu.
“Saya melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.
“Saya yakin program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.
“Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi sudah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya,” katanya.
Katanya, RMK13 digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang membabitkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.
“Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, swasta, media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.
“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.
Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan