Teresa Kok mahu Jamal membayar hutang kepadanya seperti diarahkan mahkamah sebelum ini.
Sebanyak 14 harta alih yang disita dari kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos, akan dilelong pada 22 Jun ini selepas beliau gagal menjelaskan baki penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kes saman fitnah yang berlarutan sejak 2017.
Peguam yang mewakili Kok, S.N. Nair, berkata Mahkamah Tinggi hari ini menolak tuntutan interplider yang difailkan anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa barangan yang disita itu adalah miliknya.
“Permohonan Muhammad Amin Daniel ditolak dengan kos RM8,000. Seorang lagi individu, Mohd Razali Kamin, turut menarik balik tuntutan interplider yang difailkannya dan diperintahkan membayar kos RM2,000,” katanya selepas prosiding yang berlangsung secara sidang video di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman.
Menurut beliau, keputusan itu bermakna tiada lagi halangan terhadap pelaksanaan penghakiman yang sedang dijalankan.
“Lelongan barang-barang yang telah disita ditetapkan pada 22 Jun 2026, jam 10 pagi,” katanya.
Pada 28 Januari lalu, bailif Mahkamah Tinggi bersama pegawai polis, peguam dan pegawai mahkamah telah hadir ke kediaman Jamal di Ampang Jaya bagi melaksanakan writ penyitaan dan penjualan terhadap 14 harta alih berkenaan.
Tindakan itu diambil untuk mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak yang masih belum dijelaskan kepada Kok, membabitkan kos yang diperintahkan mahkamah dalam kes saman fitnah tersebut.
Kes berkenaan berpunca daripada saman yang difailkan Kok pada 6 April 2017 selepas mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dalam satu sidang media pada 8 Mac tahun yang sama berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa kenyataan itu telah disebarkan melalui pelbagai platform media termasuk akaun Facebook milik Jamal sehingga memberi gambaran bahawa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi serta bertindak secara tidak beretika.
Pada 26 Julai 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan Jamal bertanggungjawab atas kenyataan fitnah tersebut dan mengarahkannya membayar ganti rugi RM300,000 serta kos RM50,000 kepada Kok.
Jamal kemudian memohon kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun permohonan itu ditolak pada 30 Julai 2024.
Beliau dilaporkan telah menjelaskan bayaran ganti rugi RM300,000, namun masih mempunyai tunggakan kos penghakiman yang menjadi punca kepada tindakan penyitaan dan lelongan berkenaan.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi