Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Dakwaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular di media sosial disahkan tidak benar, sebaliknya berpunca daripada kekeliruan berkaitan operasi logistik perkapalan di perairan Johor.
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil menjelaskan, diesel berkenaan bukan milik Malaysia dan tidak diproses oleh syarikat tempatan, sebaliknya, bahan api itu dimiliki serta dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.
“Timbul persoalan dalam media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar oleh Kerajaan Malaysia ke Filipina.
“Namun penjelasan daripada Petronas dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan bahawa minyak tersebut bukan milik Malaysia,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menambah, kekeliruan berlaku kerana dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia walaupun muatan tersebut bukan berasal dari negara ini.
“Hakikatnya, minyak itu milik Vitol dan telah dijual kepada Filipina, dengan kapal hanya berlepas dari perairan Malaysia,” jelasnya.
Isu ini mula tular selepas beberapa laporan media antarabangsa mendakwa sebanyak 329,000 tong diesel dihantar dari Malaysia ke Filipina bagi menampung kekurangan bekalan bahan api negara tersebut.
Laporan itu turut mengaitkan penghantaran berkenaan dengan usaha Filipina memperkukuh stok domestik ketika ketidaktentuan pasaran global.
Bagaimanapun, Pasukan Pengurusan Krisis MTEN sebelum ini telah mengesahkan diesel tersebut tidak berasal dari Malaysia.
Petronas juga menafikan sebarang penglibatan dalam urusan berkenaan serta menegaskan tiada perjanjian pembekalan diesel dimeterai dengan mana-mana pihak di Filipina.
Fahmi berkata kerajaan memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Saya berharap penjelasan ini dapat meredakan kekeliruan dan orang ramai merujuk kepada sumber rasmi sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan