Ketua Penerangan Parti Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Bersatu mendakwa Ahmad Samsuri Mokhtar gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus mendesak agar jawatan tertinggi gabungan itu dikembalikan kepada Muhyiddin Yassin bagi memulihkan semula kekuatan dan kesatuan pembangkang.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sepanjang 103 hari memegang jawatan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri gagal menangani pelbagai konflik dalaman yang akhirnya membawa kepada kemerosotan hubungan antara PAS dan Bersatu.
Menurutnya, pelbagai pertikaian yang timbul dalam PN sejak kebelakangan ini tidak berjaya diselesaikan melalui saluran dalaman gabungan berkenaan.
“Sejak 103 hari memegang jawatan, Ahmad Samsuri gagal menyelesaikan kemelut dalaman yang menyerlahkan kelemahan kepimpinan dalam PN.
“Sebagai Naib Presiden PAS, beliau berdepan kekangan untuk membuat keputusan secara muktamad kerana perlu merujuk kepada Presiden PAS dan Majlis Syura terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal berkata, keadaan itu menyebabkan banyak isu penting yang melibatkan PN gagal ditangani dengan berkesan, termasuk beberapa perkembangan politik yang mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti komponen.
Beliau turut mendakwa Ahmad Samsuri kurang tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa isu penting termasuk perkembangan politik di Negeri Sembilan, isu rakyat serta kemelut dalaman PN yang semakin meruncing.
Katanya, pemimpin Bersatu, Parti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) juga pernah berusaha mendapatkan penjelasan daripada Ahmad Samsuri berhubung beberapa kenyataan terbuka Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, namun tidak menerima maklum balas sewajarnya.
“Keadaan ini akhirnya menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kepimpinan beliau sebagai Pengerusi PN dalam memastikan gabungan itu dapat berfungsi dengan baik, membuat keputusan secara berkesan dan menangani konflik yang timbul dalam kalangan parti-parti anggotanya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Afif Bahardin berpendapat jawatan Pengerusi PN wajar dikembalikan kepada Muhyiddin susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu yang disifatkannya sebagai titik perubahan besar dalam perjalanan gabungan tersebut.
Menurut beliau, PN ketika ini memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan semula parti-parti komponen serta mengembalikan keyakinan penyokong terhadap gabungan berkenaan.
“Sudah tiba masanya Muhyiddin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi. Sejak penubuhan PN, beliau bukan sekadar pengasas, malah menjadi titik pertemuan yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan,” katanya.
Afif berkata, PN memerlukan kepimpinan yang mampu menarik sokongan lebih luas daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pengundi Melayu moderat, golongan profesional muda dan pengundi atas pagar yang mahukan kestabilan politik.
Beliau turut menyifatkan Muhyiddin sebagai tokoh yang mempunyai kredibiliti untuk mengembalikan agenda penyatuan Melayu secara inklusif tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain.
PAS semalam mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Perkembangan tersebut mencetuskan persoalan mengenai masa depan PN, termasuk kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi gabungan itu, ketika tekanan daripada pemimpin Bersatu semakin meningkat agar kepimpinan tertinggi PN disusun semula.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri