Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.
PAS menafikan pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu bertujuan menonjolkan beliau sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) pada masa depan.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berkata soal calon Perdana Menteri langsung tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang memutuskan pelantikan Ahli Parlimen Kemaman itu.
Menurutnya, keputusan dibuat semata-mata untuk mengisi kekosongan jawatan dan memenuhi keperluan semasa gabungan pembangkang tersebut.
“Kita tidak bincang bab ‘poster boy’ ini. Tak ada bincang apa, cuma ini untuk benda semasa,” katanya dipetik laporan Sinar Harian hari ini.
Beliau mengulas dakwaan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang memberi bayangan Presiden PAS itu sedang dipersiapkan sebagai calon Perdana Menteri PN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Mohd Amar turut menjelaskan pelantikan tersebut dibuat atas faktor organisasi selepas jawatan berkenaan kosong susulan perubahan dalam struktur kepimpinan pembangkang di Parlimen.
Sebelum ini, teka-teki mengenai siapakah yang bakal mengetuai blok pembangkang akhirnya terjawab apabila PN mengumumkan Ahmad Samsuri menggantikan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang baharu.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurut Takiyuddin, keputusan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua parti komponen yang hadir dalam mesyuarat dipengerusikan sendiri oleh Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Ahmad Samsuri bagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
Anwar dakwa sikap tak sabar punca PRN Negeri Sembilan terpaksa diawalkan
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi