Mohd Nassuruddin Daud.
Kerajaan Kelantan dijangka membawa semula 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 untuk diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persidangan terdekat, selepas peruntukan berkenaan dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2024.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata cadangan itu telah mendapat kelulusan di peringkat Mesyuarat EXCO negeri dan akan dibawa ke DUN bagi proses seterusnya.
Menurutnya, langkah tersebut dibuat bagi memastikan usaha memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah di Kelantan dapat diteruskan.
“Dalam persidangan DUN dalam masa terdekat, kita akan meluluskan kembali undang-undang syariah Islam yang sebelum ini dibatalkan dalam bab takzir.
“Kita akan bawa semula untuk diluluskan dan di peringkat EXCO, ia sudah diluluskan. Ini kerana perjuangan kita adalah perjuangan yang benar,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pasir Mas hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berputus asa walaupun peruntukan berkenaan sebelum ini telah dicabar dan diputuskan tidak sah oleh mahkamah.
“Kita tidak putus asa. Ada orang batalkan, tetapi kita bawa semula,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Pada Februari 2024, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu dibuat oleh panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, selepas membenarkan petisyen yang difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Antara isu utama dalam kes itu ialah sama ada DUN Kelantan mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan tertentu yang didakwa bertindih dengan bidang kuasa Parlimen di bawah undang-undang jenayah persekutuan.
Mahkamah dalam penghakimannya memutuskan DUN Kelantan telah menggubal beberapa peruntukan yang berada di luar bidang kuasa badan perundangan negeri.
Perkara itu mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai had kuasa negeri dalam menggubal undang-undang syariah, khususnya berkaitan pembahagian bidang kuasa antara Parlimen dan DUN seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Belum jelas sama ada rang undang-undang baharu yang akan dibentangkan kerajaan Kelantan akan menggunakan pendekatan atau pindaan berbeza bagi menangani isu bidang kuasa yang menjadi asas keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Perceraian kedua UMNO-PAS hanya soal masa? Wawasan sedang bina naratif Hamzah calon PM
Cadang Hamzah jadi PM: UMNO pasti lebih berhati-hati, tidak mahu ditelan buat kali kedua
Muhyiddin: Bersatu pengasas PN, tiada siapa boleh paksa keluar
Muhyiddin tolak khabar angin Bersatu mahu kembali bersama PH
PRN NS: Pengundi tentukan kemenangan, bukan ramalan atau nujum
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat