Ketua Penerangan Parti Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Isu pemakluman status enam Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat sebenarnya tidak serumit yang disangka.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan perkara itu boleh diselesaikan dengan hanya menghantar surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat dan proses tersebut boleh dilakukan dalam tempoh sehari tanpa perlu menunggu persidangan Dewan Rakyat tamat atau mengambil kira baki hari sidang.
“Hantar sahaja surat kepada Speaker untuk maklumkan status keahlian mereka. Itu sahaja. Ia bukan proses yang rumit,” katanya dalam satu kenyataan.
Kontroversi ini tercetus selepas beberapa pemimpin Bersatu dipecat daripada parti, termasuk bekas Timbalan Presidennya, Hamzah Zainudin pada 12 Februari lalu.
Susulan itu, timbul desakan supaya Perikatan Nasional (PN) menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Bagaimanapun, semalam Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan mengesahkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang masih kekal.
PN juga belum menghantar sebarang notifikasi kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berhubung perubahan tersebut.
Mengulas lanjut, Tun Faisal menjelaskan tanggungjawab memaklumkan status keahlian Ahli Parlimen terletak di bawah PN.
Selepas itu, Majlis Tertinggi PN boleh bermesyuarat bagi menentukan dan menamakan Ketua Pembangkang yang baharu.
“Penggantian Ketua Pembangkang boleh dilaksanakan kemudian selepas Majlis Tertinggi PN membuat keputusan siapa yang akan dipilih,” ujarnya.
Beliau turut menambah proses itu akan menjadi lebih mudah sekiranya dasar dan keputusan berkaitan sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu.
Untuk rekod, kedudukan Ketua Pembangkang memainkan peranan penting dalam sistem Parlimen Malaysia sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.
Justeru, sebarang perubahan jawatan tersebut lazimnya memerlukan pemakluman rasmi kepada Speaker sebelum diiktiraf dalam Dewan Rakyat.
Rafizi dipanggil ke SPRM pada Isnin beri keterangan
Kenyataan tiga sayap hanya pandangan, pendirian parti kekal sokong kerajaan NS: Zahid
UMNO berpendirian sebarang program hiburan perlu ada batas: Zahid
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan