Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok menjadi kumpulan pertama yang dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis ini bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan platform tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pertemuan yang diadakan bersama Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara itu membincangkan isu penyebaran maklumat palsu, aktiviti jualan di TikTok Shop, kelewatan memberi kerjasama dalam siasatan polis, serta beberapa masalah lain.
Beliau menjelaskan pertemuan ini merupakan langkah pertama kerajaan sebelum memanggil platform media sosial lain bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kes pedofilia di media sosial.
“Kita dapati banyak isu, terutama penyebaran berita palsu, di mana pihak TikTok mengambil masa terlalu lama untuk memberi kerjasama kepada polis. Dalam kes terkini membabitkan doktor atau pakar bedah palsu, TikTok lambat memberikan maklumat kepada pihak polis sehinggakan saya sendiri terpaksa menghubungi ketua pegawai eksekutif (CEO) secara peribadi,” katanya selepas menghadiri Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025 hari ini.
Fahmi turut menyatakan bahawa pertemuan tersebut turut membincangkan aduan berkaitan TikTok Shop, terutamanya mengenai pelanggan yang sering menerima barangan tidak menepati pesanan.
“Kita tidak mahu orang beli satu barang di platform itu, tetapi yang diterima adalah barang lain,” tegasnya.
Beliau juga mengumumkan bahawa Meta, syarikat induk Facebook dan WhatsApp, akan dipanggil tidak lama lagi memandangkan isu serupa turut dikesan di platform tersebut.
“Kita dapati banyak masalah seperti pedofilia dan kes membabitkan pelajar tersebar melalui WhatsApp dan Facebook,” jelasnya.
Sesi dialog bersama Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara ini diadakan bagi memastikan semua platform media sosial mematuhi undang-undang negara, memandangkan mereka dilihat masih gagal mengurus isu-isu tersebut dengan serius.
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
Anwar hubungi Prabowo, ASEAN digerakkan tangani jerebu
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
Tiada lesen judi baharu dikeluarkan: MOF
RM5.2 bilion transaksi SARA direkod setakat September, 8.4 juta penerima
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum