Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, mendakwa tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya adalah tidak berasaskan undang-undang dan berbaur politik.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, FIFA dilihat terus menghukum para pemain tanpa menggunakan peruntukan sebenar undang-undang.
Menurut titah baginda yang dimuat naik di Facebook HRH Crown Prince of Johor, Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan hanya individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu sahaja yang boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu tidak terpakai kepada para pemain.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar,” titah Tunku Ismail.
Baginda menegaskan, “Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain.”
Pandangan itu disuarakan berikutan keputusan FIFA untuk mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisannya.
FAM, melalui Pemangku Presidennya, Mohd Yusoff Mahadi, mengesahkan rayuan mereka telah ditolak oleh badan induk bola sepak dunia itu.
“FAM telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di mana rayuan kami telah ditolak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, pihaknya akan meminta butiran penuh serta alasan bertulis daripada FIFA sebelum mengambil langkah seterusnya, iaitu mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Kes ini berpunca daripada aduan berhubung status kelayakan tujuh pemain yang beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
FIFA mendakwa FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan, lalu mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM dan menggantung tujuh pemain terbabit selama 12 bulan.
Mohd Yusoff menyifatkan ini sebagai kali pertama FAM berdepan situasi sedemikian dan pihaknya amat terkejut dengan keputusan tersebut.
MCMC siasat individu didakwa persenda perkataan dalam al-Quran
Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual bukan Islam disiasat: Zulkifli
Penjimatan negara membolehkan hasil dipulangkan kepada rakyat: Anwar
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
Kerajaan tubuh Tabung Pos RM150 juta, beroperasi awal 2027: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum