Ketua Penerangan Parti Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menepis dakwaan kononnya Menteri Besar Perlis cuba mencampuri urusan dalaman PAS susulan pertemuan melibatkan pimpinan Bersatu dan PAS di kediaman Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin baru-baru ini.
Menurut Tun Faisal, beliau hadir sebagai saksi dalam pertemuan tersebut dan menegaskan tiada sebarang usaha untuk mempengaruhi keputusan parti PAS dibangkitkan.
Sebaliknya, perbincangan tertumpu kepada isu pentadbiran negeri, khususnya kebajikan rakyat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat.
“Saya boleh sahkan, apa yang dibincangkan bukan soal parti, tetapi bagaimana hendak memastikan peruntukan dan bantuan kepada rakyat di tiga DUN itu tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu ini timbul selepas Speaker DUN Perlis mengumumkan kekosongan kerusi bagi tiga kawasan berkenaan, menyebabkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat memfailkan saman di mahkamah.
Keadaan itu meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan tergantung sementara menunggu keputusan mahkamah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan khidmat kepada rakyat.
Tun Faisal menjelaskan, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah telah mengemukakan beberapa cadangan selepas merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri.
Antara cadangan utama ialah menerima ketiga-tiga ADUN berkenaan sebagai wakil rakyat berstatus bebas supaya mereka dapat terus berkhidmat kepada penduduk setempat.
“Cadangan ini langsung tidak ada kena-mengena dengan tindakan disiplin PAS. Itu hak dan urusan PAS sepenuhnya,” jelas beliau.
Selain itu, satu pendekatan ‘menang-menang’ turut dicadangkan, di mana ADUN terlibat menarik balik saman terhadap Speaker, manakala keputusan kekosongan kerusi ditarik semula demi kepentingan rakyat.
Jika penyelesaian itu tidak dapat dicapai, kerajaan negeri bersedia menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di ketiga-tiga DUN bagi memastikan bantuan dan urusan kebajikan rakyat terus berjalan.
Mengulas kritikan yang timbul, Tun Faisal mengingatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat tuduhan.
“Sebagai pemimpin dan masyarakat, lebih baik kita bertabayyun, semak fakta dan elakkan fitnah,” katanya.
Aminuddin dakwa pengkhianatan punca PRN Negeri Sembilan diadakan
Anwar pilih kerjasama daripada pertembungan politik dalam PRN
Kongres PKR ditunda ke Ogos, Saifuddin dan Dr Zaliha dilantik Naib Presiden
Kerajaan Pulau Pinang sokong PRU-16 tidak diawalkan, fokus isu ekonomi negara
AMK persoal sejauh mana komitmen UMNO bersama Kerajaan Perpaduan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi