Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid.
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) didakwa bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional, kata bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, UEC juga tidak berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti yang digariskan secara jelas dalam Akta 550, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap desakan berterusan supaya sijil berkenaan diiktiraf kerajaan.
“Bagi saya, pihak yang mendesak kerajaan mengiktiraf UEC perlu membaca, memahami dan menghayati Akta 550 terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuntutan. Asas kenegaraan dan perundangan tidak boleh dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahdzir berpandangan, tuntutan berulang terhadap pengiktirafan UEC mencerminkan pendekatan yang tidak matang, apatah lagi apabila ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menggesa pemimpin politik, khususnya daripada DAP serta kumpulan yang memperjuangkan UEC, supaya menghormati Akta 550 dan mengutamakan kepentingan nasional dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.
“Isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya terus dibangkitkan sekiranya semua pihak benar-benar menghormati akta yang telah termaktub secara terang dan jelas,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahdzir mempersoalkan keperluan mendesak untuk mengiktiraf UEC sedangkan kerajaan telah lama mengiktiraf sijil antarabangsa lain seperti O-Level dan IGCSE.
“Apa keperluan mendesak UEC untuk diiktiraf sedangkan pilihan lain yang bertaraf antarabangsa sudah tersedia dan diiktiraf sejak sekian lama?” soalnya.
Beliau turut menegaskan UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan kerana kandungan silibusnya, khususnya subjek Sejarah, lebih menumpukan kepada sejarah China dan Asia Timur berbanding Sejarah Malaysia yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Selain itu, katanya, UEC tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan, tidak menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, serta tidak dipantau atau diseragamkan oleh Kementerian Pendidikan seperti sekolah swasta lain.
“Bagaimana kerajaan mahu mengiktiraf UEC jika semua ini jelas tidak selari dengan Akta 550? Jangan kerana kepentingan politik, UEC terus dijadikan modal,” tegasnya.
Mahdzir mengingatkan bahawa UEC seharusnya kekal sebagai sistem persendirian tanpa menuntut pengiktirafan negara, sambil memberi amaran agar isu itu tidak terus menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat.
“Jangan sampai ia diharamkan jika dilihat merosakkan asas perpaduan negara,” katanya.
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan