Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
UMNO menegaskan pendiriannya untuk tidak menerima ahli daripada parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan yang ingin menyertai parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, turut menyeru semua parti dalam gabungan kerajaan menghentikan amalan memikat ahli parti lain demi menjaga keharmonian kerjasama sedia ada.
“Mulai hari ini, saya harap semua parti dalam kerajaan ini berhenti menarik ahli daripada parti gabungan lain.
“UMNO tidak pernah mencuri ahli mana-mana parti, dan jika ada ahli parti lain yang ingin masuk UMNO, saya sebagai Pengerusi Pengurusan tidak akan terima,” kata dipetik laporan Sinar Harian.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, yang sebelum ini memaklumkan mereka akan menghantar nota bantahan kepada parti gabungan yang didakwa menerima kemasukan ahli UMNO.
Mohamad menekankan pentingnya etika dalam kerjasama politik, terutamanya apabila parti-parti telah bersetuju membentuk kerajaan bersama. Menurutnya, jika amalan saling menarik ahli berterusan, ia boleh mengancam keharmonian dan kestabilan kerajaan.
“Bagaimana kita mahu mengekalkan keharmonian jika perkara ini berlaku? Saya tidak menunjuk parti tertentu, tetapi ini pesanan kepada semua parti dalam kerajaan supaya kita saling menghormati,” ujarnya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turut mendedahkan bahawa Jawatankuasa Disiplin UMNO sedang memproses cadangan pemecatan beberapa ahli yang didapati menyertai parti lain dalam gabungan kerajaan.
“Jika ada ahli UMNO yang ingin sertai parti lain, itu hak mereka. Tetapi dari segi etika, parti-parti lain tidak sepatutnya menerima ahli kami. Kalau semua parti bebas menarik ahli, ini akan merosakkan hubungan baik antara kita,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tepat ahli UMNO yang terlibat dalam isu tersebut.
Mohamad berharap semua pihak dapat memahami kepentingan menjaga keutuhan kerjasama politik demi kestabilan negara.
Mahfuz: PAS jangan jadikan syurga sebagai umpan undi
Bukit Aman hubungi Hadi dakwaan AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan Malaysia
PRN Melaka makin dekat, DUN bubar dua Jumaat lagi Rauf beri bayangan
PRU-16 awal: AMK dakwa UMNO mahu beri laluan PAS jadi PM
Isu campur tangan AS, PKR Setiawangsa buat laporan polis terhadap Hadi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum