Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO perlu melakukan perubahan besar termasuk membentuk pemikiran politik baharu bagi memastikan parti itu terus relevan dan mampu bersaing dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak boleh lagi bergantung kepada nostalgia sejarah semata-mata, sebaliknya perlu melakukan penjenamaan semula secara menyeluruh termasuk memperkukuh strategi pemasaran politik.
Menurut beliau, perancangan masa depan perlu dibuat segera memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun.
“Kita kena fikir apa hala tuju kita bukan sahaja 20 tahun akan datang, malah dalam kira-kira 22 bulan lagi kita akan hadapi pilihan raya. Kita wajib ada produk, penjenamaan dan pemasaran politik yang kukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Pertama Sekolah Politik UMNO hari ini.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan melakukan perubahan boleh menyebabkan UMNO terus merosot.
“Jika keputusan rakyat sama seperti pilihan raya 2018 dan 2022, saya bimbang pada usia UMNO 100 tahun nanti, kita mungkin terpaksa tutup kedai politik kita,” katanya lagi.
UMNO sebelum ini menjadi tunjang utama pentadbiran negara selama beberapa dekad melalui Barisan Nasional, namun mengalami kejatuhan besar pada PRU-14 pada 2018 sebelum terus mencatat prestasi lemah pada PRU15 pada 2022, sekali gus memaksa parti itu menilai semula pendekatan politiknya.
Ahmad Zahid berkata usaha mengukuhkan semula UMNO dan Barisan Nasional juga memerlukan langkah menangani persepsi negatif masyarakat terhadap parti itu.
“Walaupun produk kita baik, jika persepsi luar terhadap kita buruk, UMNO tidak akan ke mana. Persepsi negatif ini adalah mimpi buruk kita dan mesti diperbetulkan,” katanya.
Zahid juga menjelaskan graduan Sekolah Politik UMNO bakal menjadi pelapis kepimpinan serta kumpulan pemikir muda yang membantu kepimpinan tertinggi parti dalam membuat analisis dan merangka strategi masa depan.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
PAS cadang perpaduan Melayu, tetapi tak mahu Hamzah dalam parti
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar