UPKO dan Star menyatakan sokongan kepada Hajiji Md Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Satu kerajaan negeri Sabah yang didokongi parti-parti tempatan sepenuhnya berjaya dibentuk dengan penyatuan sokongan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kepada Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Presiden UPKO, Ewon Benedick, mengesahkan beliau sendiri hadir pada upacara angkat sumpah Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di Istana Seri Kinabalu dan menegaskan komitmen parti itu yang diwakili tiga wakil rakyatnya.
“Saya dan wakil-wakil rakyat UPKO menyatakan kepada Hajiji bahawa beliau boleh menubuhkan Kerajaan Sabah yang terdiri daripada parti-parti lokal sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Selebihnya dan sudah tentunya, Datuk Seri Panglima Hajiji lebih bijaksana dalam menentukan Kabinet Kerajaan Sabah,” tambahnya lagi.
Sokongan itu, menurut Ewon, diberikan berdasarkan pengukuhan nilai dan tadbir urus yang terpuji dan menggesa rakyat Sabah kembali bersatu bagi membangun dan memajukan negeri serta mendapatkan kembali hak-haknya.
Sokongan kukuh turut diberikan oleh Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, yang menyatakan komitmen parti itu untuk menyumbang secara konstruktif kepada agenda kerajaan negeri Sabah.
“STAR juga mengulangi komitmen untuk merealisasikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Jeffrey.
“Perjuangan itu sentiasa menjadi teras STAR dan kami bersedia menyokong sebarang usaha ikhlas serta berani bagi menuntut apa yang sememangnya menjadi hak Sabah,” tambahnya.
Keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi dan sokongan daripada UPKO dan STAR ini juga sekaligus memastikan kestabilan politik dan membolehkan sebuah kerajaan yang kuat ditubuhkan.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum